Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahmad Maslan kembali sebagai timbalan menteri kewangan

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dan Setiausaha Organisasi DAP Steven Sim, yang memegang portfolio timbalan menteri kewangan, merupakan antara muka lama yang dilantik menganggotai kerajaan.

Ahmad yang juga ahli parlimen Pontian dilantik semula sebagai timbalan menteri kewangan selepas kali terakhir berkhidmat di bawah portfolio itu ketika di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak.

Sementara itu, Sim yang merupakan ahli parlimen Bukit Mertajam, sebelum ini menyandang jawatan sebagai timbalan menteri belia dan sukan semasa pentadbiran PH dari 2018 hingga 2020.

Pengarah Komunikasi BN Shamsul Anuar Nasarah yang juga bekas menteri tenaga dan sumber asli, serta Arthur Joseph Kurup, yang juga bekas timbalan menteri di jabatan perdana menteri (ekonomi) di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Muhyiddin Yasin, pula masing-masing dilantik sebagai timbalan menteri dalam negeri serta timbalan menteri sains, teknologi dan inovasi.

Mereka antara 27 timbalan menteri yang diumum Perdana Menteri Anwar Ibrahim malam tadi.

Beberapa muka lama dalam pentadbiran kerajaan PH turut dilantik semula namun dengan portfolio berbeza termasuk bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching yang kini menyandang jawatan sebagai timbalan menteri komunikasi dan digital.

Bekas timbalan menteri di jabatan perdana menteri Fuziah Salleh pula dinamakan sebagai timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup manakala bekas timbalan menteri pertahanan Liew Chin Tong selaku timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

Kesemua timbalan menteri dijadual mengangkat sumpah di Istana Negara pada tiga petang ini.

-Bernama

Lihat Komen
ADS