Rumah kos rendah tidak wajar dibina di bandar, kata pengerusi Rehda
Rumah kos rendah tidak wajar dibina di kawasan bandar kerana harga tanah yang tinggi selain perlu menanggung kos pembekal perkhidmatan seperti Indah Water Konsortium (IWK), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarat sosial lain, kata Naib Presiden Persatuan Pemaju Perumahan Malaysia, Ricque Liew Yin Chew.
Rumah kos rendah tidak wajar dibina di kawasan bandar kerana harga tanah yang tinggi selain perlu menanggung kos pembekal perkhidmatan seperti Indah Water Konsortium (IWK), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarat sosial lain, kata Naib Presiden Persatuan Pemaju Perumahan Malaysia, Ricque Liew Yin Chew.
"Kami kena menyediakan semua itu dan mereka (IWK dan TNB) dengan mudah mendapat pelanggan dan mengutip bayaran daripada pembeli rumah hasil kemudahan yang terpaksa kami sediakan," kata Liew yang juga Pengerusi Persatuan Pemaju Perumahan Kedah/Perlis (Rehda).
Sehubungan itu, Bernama memetik beliau sebagai berkata, sudah tiba masanya kerajaan melaksanakan dasar perumahan negara yang sesuai dengan keadaan semasa dan kemajuan ekonomi rakyat.
Katanya, harga rumah teres di kawasan bandar wajar dinaikkan pada harga mampu milik, antara RM100,000 hingga RM200,000 mengikut kawasan manakala rumah kos rendah digantikan dengan rumah kos sederhana berharga antara RM70,000 hingga RM75,000 seunit.
Sementara itu, Rehda telah mengadakan dialog dengan kerajaan negeri Kedah semalam.
Dasar tidak sesuai
Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan negeri sedang mengkaji semula dasar dan sistem penyampaian yang membantutkan pelaksanaan projek perumahan.
Selain kelemahan sistem, katanya, terdapat dasar tidak sesuai yang masih digunapakai dan tidak seragam sehingga menimbulkan kesulitan.
"Rehda yang mengadakan dialog dengan kerajaan negeri semalam berharap kerajaan lebih proaktif dengan
mengambilkira keadaan semasa dan ini (memperkemaskan dasar) adalah tindakan awal yang kita ambil," katanya kepada pemberita semalam.
Menurutnya, Pusat Sehenti Perumahan Negeri, yang ditubuhkan Ogos tahun lalu, berperanan mencari penyelesaian kepada masalah pemaju perumahan dengan mempermudahkan permohonan mereka di samping menyeragamkan prosedur lapuk.
Mengenai cadangan Rehda untuk menaikkan harga rumah kos rendah atau menghapuskan kuota 30 peratus rumah jenis itu bagi projek dalam kawasan bandar, beliau berkata, kerajaan negeri masih mencari mekanisma menang-menang perkara itu.

