Najib minta Kayveas, Keng Yaik jangan berbalah secara terbuka
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menasihatkan pemimpin parti Gerakan dan Parti Progresif Penduduk (PPP) supaya menyelesaikan perbalahan mereka dalam semangat muafakat Barisan Nasional (BN).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menasihatkan pemimpin parti Gerakan dan Parti Progresif Penduduk (PPP) supaya menyelesaikan perbalahan mereka dalam semangat muafakat Barisan Nasional (BN).
Ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, Najib Tun Razak yang juga Timbalan Pengerusi BN, mengesahkan beliau telah menemui pemimpin kedua-dua parti komponan BN itu hari ini.
"Kita tidak mahu perbalahan secara terbuka. Kita akan selesai perbalahan ini dalam semangat permuafakatan BN," katanya.
Menurut Bernama, Najib menemui Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik dan Presiden PPP, Datuk M. Kayveas ekoran tercetus perbalahan antara mereka berdua berhubung isu siapa yang harus bertanding di kerusi Parlimen Taiping.
Kayves adalah Ahli Parlimen Taiping. Sebelum ini, kerusi Taiping adalah milik Gerakan selama lapan penggal berturut-turut dan diserahkan kepada PPP dalam pilihanraya umum lalu.
Dalam perbalahan itu, Kayveas antara lain mendakwa Gerakan akan "tutup kedai" dalam tempoh lima tahun selepas Lim bersara 8 April ini.
Najib berkata beliau bertemu secara tidak formal kedua-dua pemimpin parti itu sebelum mesyuarat pra majlis BNBBC sempena perasmian mesyuarat pertama, Penggal Keempat Parlimen Ke-11 semalam.

