Pesan Annuar: Jangan tinggalkan parti buat masa ini
Bekas setiausaha agung Umno, Annuar Musa, hari ini meminta penyokong parti itu di Ketereh agar kekal bersabar di sebalik tindakan yang dikenakan ke atasnya.
Annuar yang tidak dicalonkan semula untuk kerusi itu pada PRU lalu berkata, dia juga akan bertemu dengan semua pemimpin Umno dari 123 cawangan yang ada dalam bahagian tersebut petang ini.
Terdahulu Annuar mengadakan pertemuan semua ahli jawatankuasa Umno Ketereh pada malam tadi.
Ia dibuat kira-kira 24 jam selepas Annuar dipecat dari Umno melalui keputusan yang dibuat majlis kerja tertinggi parti terbabit.
"Pesan saya kepada mereka, jangan bersedih. Ini adalah sebahagian daripada harga perjuangan dan memilih untuk berkata benar walaupun pahit.
"Pesan saya lagi, buat masa ini jangan tinggalkan parti. Banyak bersabar," katanya melalui media sosial.
Annuar memang sudah dijangka diketepikan Umno dalam PRU ke-15 berdasarkan sikapnya yang sering tidak sehaluan dengan pemimpin tertinggi parti.
Sebelum itu dia juga dilihat cenderung untuk berbaik-baik dengan PN khususnya Bersatu yang menjadi salah satu parti tunjang gabungan tersebut.
Semalam Annuar - yang pernah mengetuai beberapa kementerian - mengulas pemecatannya dengan berkias tentang mimpi "rumah pusaka" yang terbakar dan kini hanya mampu melihat kemusnahan itu dari luar.
Bagaimanapun "mimpi" Annuar itu disambut dengan pelbagai versi mimpi lain oleh pemimpin Umno termasuk ketua penerangan parti itu, Isham Jalil.
Menurut Annuar petang nanti dia akan menyampaikan ucapan kepada semua pemimpin Umno di Ketereh dan membenarkan ia disiarkan secara langsung di Facebook.
"Tiada apa pun yang perlu disembunyikan, insya-Allah," katanya yang memimpin Umno Ketereh selama 35 tahun.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/ae72cdbac138538c1b41b417ae0e0e43.jpg)
