Mimpi melawan mimpi - itu yang berlaku beberapa jam selepas media melaporkan bekas setiausaha agung Umno, Annuar Musa, dipecat daripada parti itu.

Pagi tadi Annuar secara berkias bercerita mengenai mimpi yang dialaminya malam tadi.

Menurut bekas menteri penerangan dan komunikasi tersebut, dalam mimpi malam Jumaatnya dia melihat ada rumah pusaka yang didiami terbakar disyaki akibat berlaku kerosakan suis atau berlaku litar pintas.

"Ramai penghuni rumah sudah lari meninggalkan rumah yang terbakar, atau dibakar, wallahualam," katanya di media sosial.

Tanpa membuat rujukan kepada sesiapa, hantaran itu jelas menyindir apa yang berlaku kepada Umno-BN ketika ini yang menyertai kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Annuar sendiri sejak bertahun-tahun menunjukkan sikapnya tidak menyenangi Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Annuar Musa

Pagi ini Ketua Penerangan Umno Isham Jalil membalas mimpi malam Jumaat Annuar dengan 'mimpi' yang dialaminya pula.

Kata Isham dia juga mengalami mimpi mengenai kebakaran yang berpunca daripada api di dalam sekam yang memang mahu memusnahkan binaan berkenaan.

Katanya pembakaran itu dibuat agar penghuni rumah terbabit boleh merempat dan menumpang berlindung di kediaman orang lain.

"Orang lain itu adalah tuan kepada api ini dan dia sudah lama mahu membakar rumah kita dan halau kita keluar dari rumah sendiri.

"Sebelum rumah kita terbakar, kita perlu keluarkan api dalam sekam ini. Baru rumah kita selamat dan keluarga kita bahagia," katanya.

Kifarah akan bersemuka

Untuk rekod Annuar memang dilihat cenderung kepada Bersatu sejak penubuhan kerajaan yang digerakkan melalui Langkah Sheraton pada penghujung Feb 2020.

Ketika Umno mengarahkan ahli parlimennya menarik balik sokongan kepada Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri, Annuar antara tokoh yang enggan berbuat demikian.

Dalan pilihan raya umum (PRU) lalu beberapa pemimpin Umno yang tidak sehaluan dengan Ahmad Zahid digugurkan. Antara mereka ialah Annuar yang sebelum ini bertanding di Ketereh.

Dalam PRU baru-baru ini Ketereh - serta seluruh kerusi parlimen lain di Kelantan - dikuasai PN.

Kata Isham lagi, Annuar mungkin mengalami "mimpi dan igauan" tersebut kerana dia berhasrat mahu menjadi menteri sekali lagi namun tidak kesampaian.

"Tidak mengapa, reda sahajalah ketentuan Allah SWT kerana Dia penentu segala.

"Kita hanya manusia yang berusaha. Jika Allah tidak izin, maka adalah sebabnya.

"Menang itu penting, namun bagaimana kita menang itu lebih penting, jika sumber kemenangan itu tidak berkat, maka kifarah akan bersemuka," katanya.

Isham turut secara ‘nakal’ mengakhiri hantaran tersebut dengan tanda pagar #SalamRM600Billion.