Tanah runtuh: Tiga lagi rumah perlu dikosongkan
Penghuni tiga buah rumah di Taman Halaman, Ampang diarah mengosongkan kediaman mereka kerana pergerakan tanah dijangka berlaku susulan hujan lebat berterusan di lokasi kejadian tanah runtuh itu sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata penghuni di kawasan terlibat telah berpindah namun terdapat beberapa individu enggan berbuat demikian walaupun dinasihatkan oleh pihak berkuasa dengan memberi alasan tidak wajar.
Katanya arahan mengosongkan kediaman itu dikeluarkan bagi memastikan keselamatan penduduk terpelihara.
"Polis juga telah membuat kawalan di kawasan sekitar dengan meletakkan sebuah van balai polis bergerak selain mendirikan pusat kawalan tempat kejadian bersama bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
“MPAJ, ketua daerah dan Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat hadir membuat pemeriksaan di kawasan tersebut dan tiada kemalangan jiwa direkodkan setakat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, seorang wanita warga emas antara enam individu yang terselamat dalam insiden tanah runtuh berketinggian sembilan meter di taman itu.
Rumah mereka turut mengalami kerosakan dalam kejadian itu.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/968a9ecda9e5dbc8b64c552848fe5d59.jpg)
