Rang undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok sewaktu pentadbiran Ismail Sabri Yaakob mungkin akan dibentangkan semula di Dewan Rakyat.

Menurut The Star, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berhasrat memperhalusi rang undang-undang itu pada mesyuarat pertama Dewan Rakyat tahun depan.

"Sebagai seorang doktor, saya menyokong (dasar itu)… saya perlu menyelesaikan (beberapa) perkara, termasuklah pelaksanaan dan garis masanya,” katanya.

Rang undang-undang itu diperkenalkan oleh menteri kesihatan sebelum ini, Khairy Jamaluddin, yang menyifatkan dasar itu sebagai “dasar generasi penamat (GEG0”.

Matlamatnya adalah untuk mengharamkan penjualan dan penggunaan produk berkaitan tembakau bagi mereka yang lahir pada tahun 2007 dan seterusnya.

Polisi ini meliputi produk berkaitan tembakau dan vape.

Bagaimanapun RUU yang dibentangkan pada bulan Julai lalu mendapat bantahan ramai wakil rakyat.

Akhirnya, kerajaan membuat keputusan untuk merujuk RUU itu kepada jawatankuasa pilihan khas untuk pertimbangan selanjutnya.

Terdapat kebimbangan mengenai pelaksanaan undang-undang itu, terutamanya kesan kepada golongan terlibat, yang merupakan sebahagian besar perokok.