Ronald Kiandee dilantik ketua Bersatu Sabah ganti Hajiji
Bersatu melantik naib presidennya, Dr Ronald Kiandee sebagai ketua badan pimpinan negeri Bersatu Sabah bagi menggantikan Hajiji Noor yang mengumumkan keluar parti itu, semalam.
Presiden Bersatu yang juga pengerusi PN, Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan berkata, Ronald turut dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Sabah.
"Beliau bertanggungjawab untuk menyelia dan menguruskan Bersatu Negeri Sabah dan PN Negeri Sabah sehingga penyusunan semula Bersatu negeri Sabah dan PN Negeri Sabah diputuskan oleh MPT (Majlis Pimpinan Tertinggi) Bersatu dan MT (Majlis Tertinggi) PN.
“Badan Pimpinan Negeri, Bahagian-Bahagian dan Cawangan-Cawangan Bersatu di negeri Sabah ditubuhkan oleh MPT Bersatu dan hanya MPT Bersatu yang mempunyai kuasa di bawah perlembagaan parti untuk menentukan kedudukannya,” katanya.
Muhyiddin menegaskan Bersatu Sabah kekal wujud dan berfungsi meskipun Hajiji dan pengikutnya mengumumkan keluar parti itu semalam.

“Saya kecewa dengan sikap mantan kepimpinan Bersatu negeri Sabah yang tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti yang telah meletakkan mereka pada kedudukan yang tinggi selepas Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu.
"Lebih-lebih lagi kemenangan mereka dalam PRN yang lalu adalah atas logo PN.
“Saya percaya ahli-ahli Bersatu di negeri Sabah yang setia dengan perjuangan parti akan terus kekal berada di dalam Bersatu yang merupakan parti komponen Perikatan Nasional di peringkat Persekutuan,” katanya.
Mengenai kedudukan empat ahli Parlimen Bersatu berkenaan, Muhyiddin berkata kedudukan mereka akan ditentukan berdasarkan undang-undang antilompat parti di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
Semalam, empat Ahli Parlimen dan 15 Adun dari Bersatu Sabah mengumumkan keluar parti selepas mempertimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini.
Langkah itu mencetuskan persoalan berhubung status wakil rakyat berkenaan yang bertanding menggunakan logo GRS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ini berikutan undang-undang anti lompat parti sudah dikuatkuasakan pada peringkat Persekutuan.
Di bawah undang-undang antilompat parti, seseorang ahli parlimen kehilangan kerusi jika keluar daripada "parti" mereka, namun pengecualian diberikan jika mereka dipecat daripada parti berkenaan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/03/e2e773fed649806f06718b3e37eb79d2.jpg)
