Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan memberi tumpuan kepada usaha untuk merapatkan kesenjangan ekonomi yang amat tinggi antara kawasan bandar dan luar bandar.

Menterinya, Ahmad Zahid Hamidi, berkata, berdasarkan data terkini pada 2019, pendapatan penengah isi rumah luar bandar adalah RM3,828 berbanding RM6,561 bagi kawasan bandar. 

"Secara perbandingan mudah, bagi setiap RM100 yang diraih penduduk di bandar, penduduk luar bandar hanya mampu meraih sebanyak RM58.

"Tahun 2019 juga merekodkan kadar kemiskinan yang tinggi di kawasan luar bandar sebanyak 12.4 peratus berbanding kadar kemiskinan keseluruhan Malaysia iaitu 5.6 peratus.

"Dan kesenjangan ini terus melebar tahun demi tahun," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, kerajaan tidak boleh meminggirkan penduduk luar bandar daripada kebejatan ekonomi negara yang didorong kemajuan bandar.

Menurut Ahmad Zahid, data berkenaan tidak mengambil kira tahun 2020 yang kesan ekonomi disebabkan wabak Covid-19 jauh lebih membarah.

"Maka penggal ini, isu kesenjangan, penerokaan potensi ekonomi dan peningkatan taraf hidup luar bandar akan menjadi keutamaan dan fokus saya dalam menerajui Kementerian KKDW.

"Insya-Allah, saya akan mengemukakan pelan tindakan dan KPI kementerian dalam masa terdekat," katanya lagi.