Kerajaan Perpaduan Anwar Ibrahim perlu melalui enam cabaran termasuk empat yang akan berlangsung minggu depan.

Cabaran-cabaran ini akan menentukan sama ada pentadbirannya mampu bertahan selama lima tahun akan datang atau tidak, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

Senarai teratas, menurutnya, adalah pemilihan speaker Dewan Rakyat pada 19 Disember ini, yang dikuti dengan usul percaya terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada hari berikutnya.

Turut dalam senarai itu ialah usul menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong semasa pembukaan Parlimen, yang merupakan dasar-dasar kerajaan untuk tahun tersebut dan meluluskan Belanjawan 2023.

Bajet itu dibentangkan oleh bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob pada Oktober sejurus sebelum Parlimen dibubarkan.

Isnin depan, kerajaan akan membentangkan usul pembayaran emolumen bagi 2023, dengan Anwar menyatakan jika ia tidak diluluskan, gaji kakitangan awam tidak boleh dibayar pada Januari nanti.

Sementara itu, Lim turut menyebut mesyuarat agung tahunan Umno bermula 11 hingga 14 Januari depan sebagai satu lagi ujian.

Ia akan menjadi mesyuarat agung pertama sejak BN bekerjasama dengan PH dan boleh menentukan rentak yang bakal menanti Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berhubung pemilihan Umno akan datang.

Sekiranya Anwar dan kerajaannya dapat mengatasi halangan ini, Lim berkata ujian keenam ialah pilihan raya negeri untuk Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu.

“Perikatan Nasional (PN) akan mencuba sedaya upaya untuk mencatatkan kejayaan di enam-enam negeri ini untuk menumbangkan kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim,” katanya.

Malah, menurutnya, Pengerusi PN Negeri Sembilan telah mengumumkan yang PN Negeri Sembilan menyasarkan untuk menang sekurang-kurangnya 19 dari 36 kerusi DUN untuk membolehkan mereka membentuk kerajaan negeri.

Lim seterusnya menggesa gabungan itu supaya tidak memandang ringan ancaman PN pada pilihan raya negeri lebih-lebih lagi dengan ramalan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow bahawa PH akan kehilangan beberapa kerusi di Pulau Pinang.

“Walaupun perkara ini tidak mengancam kawalan PH ke atas negeri tersebut, pegangan gabungan ini terhadap Pulau Pinang tidak akan menjadi sekuat sebelum ini.

“PH perlu merangka program untuk memastikan supaya mereka tidak kehilangan kerusi kepada PN, sebaliknya, mencatatkan prestasi yang lebih baik di enam negeri ini berbanding dengan prestasi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 sebelum ini,” katanya.

Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang adalah negeri yang diterajui oleh PH manakala Kedah, Kelantan, dan Terengganu berada di bawah PN, dengan PAS memegang jawatan dominan.

[Baca berita penuh]