Kerajaan Pahang akan mengumumkan portfolio untuk 10 ahli dewan undangan negeri (Adun) yang dilantik sebagai ahli mesyuarat kerajaan negeri (Exco) pagi esok.
Semua ahli dewan undangan negeri (Adun) terbabit sudah mengangkat sumpah pada 2 Disember lalu di Balairung Seri Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail ketika ditemui media di Kuantan, petang tadi.
"Mereka dipilih (untuk memegang portfolio) berdasarkan latar belakang dan kemampuan masing-masing.
"Saya percaya mereka boleh memikul tanggungjawab dan amanah diberikan untuk kebaikan negeri Pahang," katanya.
Antara Adun yang dipilih sebagai Exco Pahang selepas PRU15 adalah anak kepada bekas perdana menteri Najib Razak, Mohd Nizar.
Mohd Nizar dipilih sebagai Adun Peramu Jaya dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu.
Selain itu, dua Adun Pakatan Harapan (PH) turut dilantik sebagai Exco melalui kerjasama BN dan PH di Pahang.
Mereka ialah Adun Teruntum yang juga wakil PKR, Sim Chon Siang, dan Adun Triang (DAP), Leong Yu Man.
Sim adalah Adun Teruntum untuk penggal ketiga manakala Leong pula dipilih sebagai Adun Triang sejak 2013.
Pada PRU15 lalu, BN memperoleh 16 kerusi dewan undangan negeri (DUN) manakala Perikatan Nasional (PN) pula mendapat 17 kerusi dan PH memenangi lapan kerusi DUN.
Bagaimanapun, kerajaan Pahang dapat dibentuk selepas BN bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dengan PH.
BN mendapat kerusi ke-17 mereka selepas menang dalam pilihan raya kecil (PRK) Tioman pada 7 Disember lalu.
Dalam pada itu, antara muka lama yang dikekalkan ialah Adun Benta, Mohd Soffi Abd Razak; Syed Ibrahim Syed Ahmad (Kerdau) dan Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (Bebar).
Muka baru BN disenaraikan dalam exco kerajaan Pahang pula ialah Adun Muadzam Shah, Razali Kassim; Mohd Johari Harun (Pelangai) dan Sabariah Saidan (Guai).
Mohd Johari dan Sabariah adalah Adun penggal pertama.
Turut dilantik sebagai exco ialah bekas setiausaha akhbar menteri besar Pahang, Mohd Fadzli Mohamad Kamal yang juga Adun Dong.
Seorang bekas exco digugurkan dalam senarai walaupun turut menang dalam PRU baru-baru ini iaitu Adun Batu Talam, Abdul Aziz Mat Kiram.
