Kerajaan diminta bentang cadangan FTA di Parlimen
Kerajaan dicadangkan supaya membentangkan dokumen cadangan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) untuk dibahaskan di Dewan Rakyat kerana ramai yang beranggapan ia akan memberi kesan negatif kepada negara.
Kerajaan dicadangkan supaya membentangkan dokumen cadangan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) untuk dibahaskan di Dewan Rakyat kerana ramai yang beranggapan ia akan memberi kesan negatif kepada negara.
Ketika mencadangkan demikian di Dewan Rakyat hari ini, Datuk Markiman Kobiran (BN-Hulu Langat) menegaskan kerajaan juga perlu menjelaskan kepada orang ramai mengenai cadangan perjanjian FTA itu memandangkan ramai yang tidak faham dan bagaimana rundingan perjanjian itu dipersetujui.
"Saya menyeru menteri bertanggungjawab untuk bersama-sama kita berbincang tentang rundingan FTA.
"Jangan biarkan keputusan FTA dibuat atas pemikiran beberapa orang sahaja sebaliknya berikan penyertaan menyeluruh kepada rakyat untuk mengetahui kandungan rundingan ini," kata ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.
'Berat sebelah'
"Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) perlu menjelaskan dengan mengadakan ruangan penerangan FTA dalam akhbar, televisyen dan radio," katanya.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, kebimbangan mengenai FTA timbul berikutan melihat kegagalan FTA di Mexico di mana perjanjian antara negara itu dengan Amerika Syarikat dianggap berat sebelah.
"Hakikatnya Malaysia tidak boleh lari daripada menandatangani FTA dengan mana-mana negara walaupun dengan Amerika Syarikat. Dunia kini menuju kepada pasaran bebas dan pasaran umum dunia," katanya.
Markiman berkata, beberapa perkara perlu diperhalusi dalam rundingan FTA antara Malaysia dengan AS, termasuk perbezaan prinsip nilai budaya dalam institusi Perlembagaan AS dan Malaysia serta penjagaan harta intelek Malaysia.
Rundingan itu, katanya, perlu mengambilkira risiko FTA kepada institusi tempatan, sektor perkhidmatan kewangan Malaysia, sektor pemborongan dan peruncitan, kedudukan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan hubungan perdagangan dengan negara lain.

