Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan gerakan politik seperti ‘Langkah Sheraton’ yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2020 tidak akan berulang.

Dalam sebuah wawancara di radio hari ini, Wan Fayhsal berkata gabungan Perikatan Nasional (PN) memberi komitmen kepada pengundi bahawa ia akan menjadi pembangkang yang bertanggungjawab dan bermaruah.

“Tidak, tidak, tidak, saya rasa ini (insiden seperti Langkah Sheraton) adalah sesuatu yang mesti kita hapuskan.

“Komitmen yang kami buat kepada orang ramai dan pengundi bahawa kami akan menjadi pembangkang yang bertanggungjawab dan bermaruah, saya telah bersiap sedia untuk menjadi ahli pembangkang yang baik,” katanya sambil menambah bahawa dia akan menjadi salah seorang daripada ahli parlimen termuda.

“Ada beberapa pengalaman saya sebagai sebahagian daripada kerajaan akan saya gunakan dengan bijak untuk menjaga semak dan imbang kerajaan yang kita ada hari ini. Kami mempunyai gabungan ahli parlimen baru dan berpengalaman.

“Ia pasti menarik. Kami ada pengalaman mentadbir,” tambahnya.

Wan Fayhsal juga melabelkan gabungan PN sebagai “government-in-waiting” (bakal kerajaan) apabila ditanya mengenai peranan masa depan gabungan itu, sambil menambah bahawa dia yakin PN akan merampas semula kuasa pada pilihan raya umum (PRU) ke-16.

Dia menambah bahawa pelantikan Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang akan jelas dalam menjawab persoalan bagaimana PN akan mempengaruhi sokongan pengundi.

"Kami mahu seseorang yang mempunyai keseriusan dan pengalaman mendalam dalam kerajaan," katanya ketika ditanya mengapa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tidak dinamakan untuk jawatan itu.

“(Muhyiddin) mempunyai (ciri-ciri) itu. Dia yang paling (berpengalaman) daripada semua, tetapi Hamzah mempunyai enigma tersendiri,” katanya.

Mengenai sama ada Bersatu akan melihat Hamzah sebagai pemimpin masa depan parti itu, Wan Fayhsal mengulas bahawa Hamzah “berada di atas” dari segi pemimpin kanan.

Ketika diminta menjelaskan peranan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri, dia berkata parti itu akan menunggu pemilihan parti.

“Kita akan tunggu siri pemilihan parti tetapi setakat ini, dia adalah ketua dan calon PM kita,” katanya.

Pada 10 Dis, PN menamakan Hamzah yang juga ahli parlimen Larut sebagai ketua pembangkan.

Muhyiddin pula dilantik sebagai ketua ahli parlimen PN dengan Abdul Hadi Awang dari PAS sebagai timbalannya.