Jawatankuasa Terpilih Khas Parlimen mengenai Integriti sekali lagi membatalkan pertemuan dengan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Seri Zulkipli Mat Noor dan bekas pengarah BPR Sabah, Mohamad Ramli Manan.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat selama 40 minit, Pengerusinya, Tan Sri Bernard Dompok berkata, keputusan itu dibuat ekoran 'perkembangan terbaru' berkaitan isu tersebut.

Jawatankuasa 12 anggota itu, dengan undi majoriti, memutuskan untuk tidak memanggil Zulkipli dan Ramli buat masa ini sehinggalah selesai kes mahkamah berkaitan dengannya.

Sebelum ini, Ramli telah memfailkan saman terhadap beberapa pihak untuk menuntut bayaran tunggakan bayaran gaji dan pencennya.

Dompok berkata, jawatankuasa itu juga turut mengambil kira isu yang dibangkitkan oleh peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili bekas Menteri Kemajuan Tanah dan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam.

Minggu lalu, Shafee memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa kenyataan Ramli, yang juga bekas pengarah BPR Sabah, dalam temubual eksklusifnya dengan malaysiakini, mungkin prejudis terhadap perbicaraan kes rasuah pelanggannya itu.

Isu subjudis

Isnin lalu, jawatankuasa tersebut telah membincangkan mengenai cadangan pertemuan dengan Zulkipli dan majoriti anggotanya berpendapat ianya tidak subjudis.

Ditanya mengapa keputusan mendadak itu, Dompok berkata, beliau telah menerima permohonan daripada enam anggota Parlimen untuk berbincang lebih lanjut mengenai perkara itu.

"Anggota jawatankuasa itu telah berbincang secara mendalam perkara itu dengan rakan-rakan mereka dari kalangan peguam mengenai kemungkinan ia subjudis.

"Sesetengah daripada mereka berkata terdapat perkembangan baru dalam kes ini (yang perlukan perbincangan), jadi saya memanggil mesyuarat hari ini," jelas Dompok.

Pada 8 Mac lalu, Dompok telah membatalkan pertemuan dengan Zulkipli dan Ramli, tetapi mendapat bantahan beberapa anggota jawatankuasa itu yang mendakwa mereka tidak ditanya mengenainya.

Empat hari kemudiannya, Dompok mengadakan satu mesyuarat di mana anggotanya mengundi 8-3 untuk memanggilkan Zulkipli dan Ramli memberi keterangan kepada jawatankuasa tersebut.

Daripada 12 anggota jawatankuasa terpilih itu, hanya dua daripadanya ahli Parlimen pembangkang. Berita asal