Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mahkamah Persekutuan beri kebenaran merayu kes anak lahir di luar negara

Enam wanita rakyat Malaysia dan Persatuan Sokongan Keluarga & Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) hari ini mendapat kebenaran mahkamah tertinggi negara untuk memulakan rayuan mereka bagi mendapatkan kewarganegaraan bagi anak yang dilahirkan di luar negara dengan pasangan warga asing.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim Besar, Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim sebulat suara memberikan kebenaran untuk merayu.

Mahkamah tertinggi negara itu akan menetapkan tarikh berasingan untuk mendengar merit rayuan itu. Sidang hari ini turut dianggotai oleh hakim Vernon Ong Lam Kiat dan Mary Lim Thiam Suan.

Enam ibu berkenaan dan Family Frontiers merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 5 Ogos lalu yang menolak kewarganegaraan secara automatik kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia dengan pasangan warga asing.

Family Frontiers dan enam wanita itu memfailkan permohonan untuk merayu pada 26 Ogos lepas untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan bahawa anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia dengan pasangan warga asing tidak berhak mendapat kewarganegaraan Malaysia mengikut kuat kuasa undang-undang.

Pada 5 Ogos lepas, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan rayuan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang.

Dalam kes sivil, litigan mesti mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum mereka boleh meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Family Frontiers dan enam wanita yang berkahwin dengan warga asing juga memohon perintah mahkamah supaya semua agensi kerajaan yang berkaitan, termasuk JPN, Jabatan Imigresen dan kedutaan Malaysia, mengeluarkan dokumen berkaitan kewarganegaraan (termasuk pasport dan kad pengenalan) kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara beribukan warga Malaysia dengan pasangan warga asing.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS