Syarikat Konsesi Lebuhraya kutip RM23.66 bilion
Sejumlah RM23.66 bilion dikutip oleh 19 syarikat konsesi lebuhraya sejak permulaan konsep penswastaan lebuhraya sehingga tahun lalu.
Sejumlah RM23.66 bilion dikutip oleh 19 syarikat konsesi lebuhraya sejak permulaan konsep penswastaan lebuhraya sehingga tahun lalu.
Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri S Samy Vellu, ia termasuk jumlah kutipan tol di Jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LinKedua).
Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada Teresa Kok (DAP-Seputeh) dan Tan Kok Wai (DAP-Cheras) di Dewan Rakyat semalam.
Menurut laporan Bernama, dalam soalan mereka, Teresa dan Tan ingin tahu jumlah kutipan tol, kos penyelenggaraan dan kos pembinaan bagi setiap lebuhraya sejak ia mula beroperasi.
Sehingga akhir tahun lalu, kata Samy Vellu, purata RM41 juta digunakan setiap bulan untuk menyelenggara kesemua lebuhraya dan dua jambatan tersebut.
Menurutnya lagi, kira-kira RM5.9 bilion dibelanjakan untuk membina Lebuhraya Utara-Selatan manakala RM27.83 juta digunakan setiap bulan sebagai kos penyelenggaraan lebuhraya berkenaan.
Tempoh konsesi bagi projek lebuhraya itu ialah 50 tahun bermula pada 1988, katanya.
Kutipan tol bagi Jambatan Pulau Pinang pula ialah RM1.7 bilion, manakala Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) sebanyak RM1.05 bilion, kata menteri itu.

