Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Usul undi percaya, ketua-ketua parti sudah beri komitmen - Anwar
Diterbitkan:  Dec 14, 2022 2:47 PM
Dikemaskini: 7:14 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata ketua-ketua parti politik yang menyokongnya ketika ini telah memberikan komitmen mereka berhubung undi percaya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Isnin depan.

"Ketua-ketua parti, Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan dan beberapa parti lain sudah memberi komitmen dan insya-Allah kita dapat teruskan dengan baik.

"Minta saudari doakan yang sebaiknya," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Undi percaya terhadap Anwar dijadual dibentangkan semasa persidangan dua hari Dewan Rakyat bermula 19 Disember.

Anwar juga melahirkan keyakinannya bahawa pentadbirannya bakal memperoleh sokongan dua pertiga daripada ahli Parlimen.

Keputusan PRU15 pada 19 Nov lalu menyaksikan Parlimen tergantung apabila tiada mana-mana gabungan parti politik berjaya mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Pada PRU itu, Pakatan Harapan memperoleh 82 kerusi, Perikatan Nasional (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) dan Parti Bangsa Malaysia serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu.

Namun hasil rundingan bersama beberapa gabungan dan parti, Anwar kemudiannya dilantik sebagai perdana menteri pada 24 November lalu.

Usul undi percaya terhadap kepimpinan Anwar akan menjadi antara agenda utama pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang dijadual berlangsung selama dua hari bermula 19 Dis ini.

Berdasarkan Notis Mesyuarat Pertama yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin untuk edaran kepada Ahli-Ahli Parlimen, usul itu adalah yang kelapan di bawah aturan urusan mesyuarat.

Anwar semasa sidang media sulung selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 Nov lepas berkata satu usul undi percaya akan dibentang dalam persidangan Parlimen pada 19 Dis bagi menamatkan soal keabsahan beliau selaku perdana menteri.

Lihat Komen
ADS