Parti-parti politik yang menyokong kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan memeterai perjanjian berkaitan kerjasama itu esok, kata Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof.

Berita Harian melaporkan ia akan membabitkan semua ketua parti yang sebelum ini menyatakan sokongan terhadap Anwar sebagai perdana menteri dan akan mendahului usul percaya yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin ini.

"Semua ketua parti sudah berbincang malahan hari ini saya balik ada mesyuarat di peringkat Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk melihat kandungan perjanjian," katanya yang juga ketua whip GPS, ketika ditemui di Putrajaya, hari ini.

Mohd Shafie Apdal

Portal itu juga memetik Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal, sebagai berkata dia akan hadir pada majlis itu.

"Kita akan mengadakan perjumpaan pada Jumaat ini untuk menandatangani perjanjian antara Pakatan Harapan (PH) dengan parti yang lain, saya akan hadir pada ketika itu.

"Ini adalah keutamaan kita. Kurangkan berpolitik, yang penting kepada kita adalah membawa perkara-perkara sewajarnya di landasan yang sepatutnya," katanya.

Sementara itu, Bernama memetik Fadillah sebagai berkata, satu majlis menandatangani perjanjian antara ketua-ketua parti bagi menyokong pembentukan kerajaan perpaduan akan diadakan esok.

Fadillah Yusof

Katanya, perjanjian itu akan ditandatangani ketua-ketua parti yang bersetuju untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.

"Esok akan ada upacara menandatangani satu perjanjian antara semua parti yang bersetuju untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Di situ nanti (media) boleh bertanya apakah kandungan perjanjian tersebut dan fokusnya," katanya kepada media selepas Majlis Konvokesyen Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) di Putrajaya hari ini.

Ditanya manifesto parti mana yang akan dipilih untuk dilaksanakan dalam kerajaan perpaduan, Fadillah secara ringkas berkata tiada perbincangan berhubung perkara itu kerana kerajaan sekarang bukan berasaskan parti.

"Satu daripada keutamaan kita (kerajaan perpaduan) adalah berhubung kait dengan kos sara hidup," katanya yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi.

Mengenai fokus perjanjian tersebut, Fadillah berkata beliau tidak pasti kerana tidak terlibat dan hari ini beliau akan menghadiri mesyuarat di peringkat GPS untuk melihat kandungan perjanjian itu.

Sementara itu, mengenai pemotongan gaji, beliau berkata pemotongan gaji yang diputuskan hanya melibatkan jemaah menteri sahaja.

“Setakat ini diputuskan hanya menteri. Saya tak pasti sama ada merangkumi timbalan menteri,” katanya.

Pada 5 Dis lepas, jemaah menteri kerajaan perpaduan dalam mesyuarat Kabinet bersetuju untuk memotong gaji sebanyak 20 peratus setiap bulan, yang akan dilaksanakan sehingga ekonomi negara kembali pulih.