Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M tak sertai NGO Muafakat Nasional pimpinan Annuar

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tidak menyertai Muafakat Nasional (MN), sebaliknya akan memberi sokongan kepada NGO itu atas kebaikan negara dan Orang Melayu, menurut Presidennya Annuar Musa.

Bekas ahli parlimen Ketereh itu berkata demikian pada sidang media di pejabat MN di Damansara, Kuala Lumpur, hari ini.

"Pada saya, sama ada Tun menyertai MN itu tidak berbangkit. Tun adalah seorang negarawan. MN hanya sebuah persatuan yang kecil. Tun adalah bapa kepada negara kita, walaupun apa juga berlaku tiada siapa dapat menafikan bahawa Tun adalah negarawan ulung.

"Walaupun dia menjadi ahli rasmi atau tidak, saya telah menjemputnya untuk menyertainya. Dia balas: Kamu buat sahaja. Yang baik saya sokong.

"Tun Dr Mahathir turut melahirkan kebimbangan beliau tentang kedudukan orang Melayu dan berkata, usaha untuk kebaikan negara dan orang Melayu, dia akan sokong," kata Annuar menjawab soalan mengenai pertemuannya dengan Mahathir semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Annuar berkata bahawa MN sudah menerima hampir 20,000 permohonan setakat semalam.

Terdahulu, dia juga mengumumkan senarai 30 ahli barisan pimpinan pusat MN.

Antara yang dilantik ialah bekas ahli parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, bekas menteri Mohd Redzuan Md Yusof; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marzuki dan Pengerusi Pejuang Wilayah Persekutuan, Khairuddin Abdul Hassan.

Turut dilantik, penceramah terkenal Ridhuan Tee Abdullah, pemimpin Umno Noh Omar dan Budiman Zohdi, bekas ahli parlimen Segamat, Edmund Santhara serta wakil daripada MCA dan MIC.

Sebelum ini, Annuar dipecat daripada Umno selepas lebih 40 tahun berkecimpung sebagai ahli parti itu.

Lihat Komen
ADS