Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerbu lapan agensi berkaitan kerajaan dan sembilan syarikat berhubung dakwaan penyelewengan RM92.5 bilion dana kerajaan oleh pentadbiran terdahulu.

Sumber yang rapat dengan siasatan itu memberitahu Harian Metro bahawa lapan agensi berkaitan kerajaan itu dikatakan menerima peruntukan terbesar melalui pakej rangsangan oleh kerajaan pada 2020 dan 2021.

"SPRM turut menyerbu sembilan syarikat untuk mendapatkan dokumen tertentu.

"Sembilan syarikat berkenaan dipercayai adalah pembekal utama kepada lapan agensi berkenaan.

"Bagaimanapun masih terlalu awal untuk mendedahkan butiran lanjut berikutan siasatan SPRM masih di peringkat awal.

"Pihak SPRM memerlukan lebih masa untuk menyemak kes itu secara menyeluruh dan mengesan sebarang kegiatan rasuah, salah laku kuasa atau penyelewengan," katanya seperti dilapor

Sebelum ini SPRM dilaporkan sedang menyiasat dakwaan penyelewengan RM92.5 bilion, yang merupakan sebahagian daripada jumlah RM530 bilion yang dibelanjakan sebagai sebahagian daripada pakej insentif ekonomi pada 2020 dan 2021 berhubung pengurusan pandemik Covid-19.

Sebagai sebahagian daripada siasatan, SPRM dijangka memanggil Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin, yang ketika itu menjadi perdana menteri, serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri semasa Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang ketika itu berkhidmat sebagai menteri kewangan, dan bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin.

Muhyiddin sebelum ini menafikan dakwaan penyelewengan dan mengisytiharkan kesediaannya menghadapi sebarang siasatan.

Begitu juga, Zafrul juga berkata dia tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan akan bekerjasama dengan SPRM jika dipanggil.