Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman memberitahu parti politik yang kurang senang dengan cara pilihanraya dikendalikan di negara ini supaya membawa suruhanjaya itu ke Mahkamah Pilihanraya jika mereka mendapati sistem itu merugikan mereka.

"Tuduhan bahawa kami tidak telus, tidak dibuktikan. Kami bersikap telus... mereka (parti politik yang tidak puas hati) perlu memberi contoh (bahawa ketelusan tidak diamalkan oleh SPR).

"Jika anda kurang senang dengan pilihanraya, maka bawalah ke mahkamah. Ia jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Artikel 118 Perlembagaan Persekutuan menyebut apa-apa sahaja yang mempunyai kaitan dengan pilihanraya perlu diselesaikan oleh Hakim Pilihanraya, oleh mahkamah.

"Saya tidak boleh bertengkar sama ada kami telus atau sebaliknya... ia tak akan habis," katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat SPR di Putrajaya hari ini.

Menurut laporan Bernama, Abdul Rashid berkata demikian bagi mengulas dakwaan beberapa parti politik, kebanyakannya pembangkang, bahawa proses pilihanraya di negara ini tidak telus dan boleh dimanipulasi.

Tiada bukti

Sebelum ini, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah memboikot pilihanraya kecil Batu Talam di Pahang dua bulan lalu. Kerusi itu dimenangi oleh Barisan Nasional dengan menewaskan seorang calon bebas.

Menurut Abdul Rashid lagi, parti pembangkang telah beberapa kali membawa SPR ke mahkamah tetapi tiada bukti yang menunjukkan suruhanjaya berkenaan tidak telus.

"Apa sebenarnya yang kami tidak telus? Semasa kami mengira, mempamerkan keputusan, mengumumkan keputusan dan seterusnya, apa sebenarnya yang kami tidak telus?

"Segala-galanya boleh dilihat dan dilakukan secara terbuka. Apa yang kami lakukan di pusat pengundian, pusat penjumlahan... adakah kami melakukan muslihat? Tidak, segala-galanya ditentukan oleh pengundi dan bukan oleh SPR," katanya.

Ketika diminta reaksinya, jika parti pembangkang membuat keputusan untuk memboikot pilihanraya kecil DUN Machap, Abdul Rashid berkata, SPR tidak mempunyai kuasa untuk mendesak mereka bertanding dalam pilihanraya kecil itu.

Sedia jentera

Kerusi DUN Machap kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Poh Ah Tiam pada 15 Mac lalu. SPR menetapkan 3 April sebagai hari penamaan calon dan pengundian pada 12 April.

"Saya tidak boleh mengulas mengenainya. Itu urusan mereka. Jika mereka mahu boikot, mereka boikotlah... apa yang saya boleh buat. Tugas saya ialah untuk menyediakan jentera... arena bagi rakyat untuk mengambil bahagian dalam pilihanraya.

"Kami lakukan apa juga mengikut kemampuan kami dan dalam lingkungan undang-undang. Semuanya dilakukan di dalam rangka kerja undang-undang, tiada yang lebih, tiada yang kurang.

"Jika mereka (parti pembangkang) tidak puas hati, mereka boleh menyoal undang-undang, kami bukan penggubal undang-undang di sini...

"kami tidak menggubal undang-undang, undang-undang diletakkan di tempatnya untuk kami laksanakan dan kami melaksanakannya berdasarkan undang-undang," katanya.