Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bekas ahli parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub akan dilantik semula sebagai pengerusi Felcra.
Pengumuman itu dua hari selepas kerajaan memutuskan untuk menamatkan kontrak semua pengerusi dan ahli lembaga yang dibuat melalui pelantikan politik dalam firma dan badan berkaitan kerajaan.
Maklum akan perkara itu, Ahmad Zahid berkata pelantikan semula Ahmad Jazlan dibuat selepas mengambil kira pandangan perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Felcra Malaysia Berhad.
"Saya tak boleh untuk tak setuju untuk memberikan kepercayaan semula kepada Ahmad Jazlan. Dengan ini saya mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (Ramlan Harun) untuk mengeluarkan surat pelantikan semula dengan sesegera yang mungkin, tertakluk kepada persetujuan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
"Menteri sudah bersetuju atas arahan timbalan perdana menteri. Tidak mustahilah Datuk KSU segera menyempurnakan lantikan semula itu," katanya seperti dipetik Berita Harian, semalam.
Dia berkata demikian pada Majlis Sambutan 40 Tahun serta Mesyuarat Agung Perwakilan Kali ke-40 Koperasi Peserta-Peserta Felcra Malaysia Berhad.
Ahmad Jazlan antara lantikan politik yang telah menamatkan perkhidmatan sebagai pengerusi Felcra susulan pembentukan kerajaan baru selepas PRU15.
Dia dilantik ke jawatan itu pada 3 Oktober 2021.
