Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur ahli-ahli Parlimen supaya untuk menjaga adab dan susila masing-masing serta tidak melanggar batas peraturan yang ditetapkan semasa persidangan Dewan Rakyat.

Beliau berkata Ahli Parlimen seharusnya sentiasa menjaga kemuliaan Dewan Rakyat dan tidak  membiarkan rakyat mentertawakan mereka dengan pelbagai kerenah yang ditunjukkan kerana ia turut dapat ditonton.

“Boleh berbeza pendapat, boleh bertengkar tetapi harus jaga kemuliaan Dewan ini dengan tidak (bersikap) keterlaluan kerana ini akan ditertawakan rakyat yang melihat seluruh Dewan ini menjadi gelanggang seperti mana yang disebut dalam media sosial, sarkas.

“Saya bagi jaminan, kita akan beri sokongan penuh kalau tindakan itu perlu dikenakan ke atas Ahli-ahli Berhormat daripada Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan peruntukan khas (Bajet Mini) bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan membabitkan wang sejumlah RM107,718,676,650 di Dewan Rakyat hari ini.

- Bernama