Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar heret Muhyiddin ke mahkamah berhubung dakwaan bayaran RM15 juta

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman fitnah terhadap bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan bahawa dia menerima bayaran RM15 juta sebagai penasihat ekonomi Selangor.

Peguam utama Anwar, Sankara Nair mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa writ saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Sebelum ini, pada 7 Dis, Anwar mengeluarkan surat tuntutan yang memberi Muhyiddin tempoh tiga hari untuk membuat permohonan maaf tanpa syarat berhubung dakwaan di media sosial dan menarik balik video TikTok berkenaan dakwaan itu, serta membuat aku janji bertulis untuk tidak lagi mengulanginya.

Surat tuntutan Ahli Parlimen Tambun itu adalah berkenaan kenyataan ahli parlimen Pagoh tersebut yang dikatakan dibuat ketika ceramah Grand Finale PN menjelang pilihan raya di Padang Serai pada 5 Disember lalu.

Pada 7 Disember, Pejabat Menteri Besar Selangor menyangkal dakwaan Muhyiddin dan sebaliknya mendedahkan bahawa Anwar hanya dibayar simbolik RM1 setahun sebagai penasihat.

Menurut salinan pernyataan tuntutan tindakan sivil, Anwar selaku plaintif mendakwa bahawa sehari selepas surat saman dikeluarkan, keseluruhan ucapan Muhyiddin dalam ceramah itu diterbitkan selanjutnya di bawah akaun Facebook defendan.

Menurut Anwar, dakwaan itu sebagai fitnah, palsu dan memperlekehkan dirinya, serta dibuat dengan niat jahat.

Plaintif mendakwa bahawa dakwaan itu antara lain, menggambarkan dirinya sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai, tidak jujur mengenai penerimaan jutaan ringgit daripada kerajaan negeri Selangor sebagai penasihat ekonomi dan menipu orang ramai.

"Kenyataan fitnah ini dirancang terlebih dulu bertujuan untuk memperlekehkan, memfitnah reputasi dan perwatakan saya secara serius selain memburukkan nama baik dan karakter saya yang juga penyokong teguh kedaulatan undang-undang serta reformasi sosial.

"Muhyiddin keberatan untuk memohon maaf dan menarik balik (kenyataan) yang sama, tetapi terus menerbitkan perkataan fitnah itu dengan sengaja dan tidak memadamkannya sehingga kini," katanya.

Sehubungan itu, Anwar menuntut daripada Muhyiddin antaranya ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi pampasan dan ganti rugi teladan dan perintah injunksi untuk menghalangnya daripada terus mengeluarkan kenyataan fitnah serupa.

[Baca berita penuh]

Seentara itu, Bernama melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung ucapan berbaur fitnah mengenai dakwaan beliau menerima gaji sebanyak RM15 juta semasa berkhidmat sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Anwar, 75, memfailkan saman itu menerusi Tetuan SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, dengan menamakan Muhyiddin, 75, sebagai defendan tunggal.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa pada 5 Dis lepas, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) telah membuat kenyataan itu dalam satu ucapan semasa ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ di Taman Selasih, Kulim sebagai menyokong calon PN, Datuk Azman Nasrudin bagi Pilihan Raya Umum ke-15 dengan ratusan pengunjung telah menghadiri ceramah tersebut.

Pengerusi Pakatan Harapan itu mendakwa ucapan dalam ceramah itu telah diterbitkan atau menyebabkan penerbitan semula di aplikasi TikTok di bawah nama “@beritakini8”, yang telah mendapat tontonan melebihi 1.1 juta kali, 6,061 komen, melebihi 21,400 butang ‘like’, melebihi 1,360 butang ’favourite’, dan 2,169 kali perkongsian setakat tarikh notis tuntutan plaintif bertarikh 7 Dis.

Dakwanya, kenyataan fitnah itu telah dipetik oleh MalaysiaKini dan ia diterbitkan menerusi artikel di portal berkenaan bertajuk “MB’s aide to Muhyiddin: Anwar paid RM1 as S’gor economic adviser” pada hari sama (7 Dis).

Anwar mendakwa, pada keesokannya, keseluruhan ucapan dalam ceramah tersebut telah diterbitkan atau menyebabkan penerbitan semula oleh Muhyiddin di akaun Facebooknya di bawah nama ‘Muhyiddin Yassin’ dengan mendapat tontonan melebihi 42,000 kali, 506 komen, melebihi 2,800 reaksi dan 48 perkongsian setakat tarikh pemfailan saman itu.

Menurut Anwar, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau seorang yang tidak boleh dipercayai dan tidak jujur mengenai penerimaan jutaan ringgit daripada Kerajaan Negeri Selangor sebagai Penasihat Ekonomi dan menipu orang ramai dengan menyatakan bahawa beliau telah menerima RM1 sebagai gaji untuk perkhidmatan beliau sebagai Penasihat Ekonomi.

Beliau mendakwa kenyataan-kenyataan fitnah itu dirancang terlebih dahulu bertujuan untuk memperlekehkan, memfitnah reputasi serta perwatakan plaintif secara serius selain memburukkan nama baik dan karakternya yang merupakan seorang penyokong teguh kedaulatan undang-undang serta reformasi sosial.

“Dalam memberi kenyataan dalam ucapan itu, jelas defendan berniat jahat dengan tidak mengendahkan jawapan rasmi bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri (Abdul) Khalid Ibrahim semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada 27 Mac 2012, yang beliau (Khalid) telah menyatakan secara jelas bahawa gaji saya sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor hanyalah jumlah simbolik RM1,” dakwa plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.

Anwar mendakwa Muhyiddin juga keberatan untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut, malah terus menerbitkannya dan tidak memadamkannya sehingga kini, walaupun beliau telah menafikannya.

Sehubungan itu, Anwar menuntut Muhyiddin antaranya ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, ganti rugi pampasan dan selain perintah injunksi untuk menghalangnya daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan fitnah serupa.

Peguam Datuk SN Nair, yang mewakili Anwar, ketika dihubungi Bernama berkata saman itu difailkan pada 10.30 pagi tadi.

Lihat Komen
ADS