Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
30 graduan perubatan terbaik UM 'hilang' ke S'pura setiap tahun
Diterbitkan:  Dec 22, 2022 12:59 PM
Dikemaskini: 6:32 AM

Sekurang-kurangnya 30 graduan perubatan terbaik yang dilahirkan Universiti Malaya (UM) meninggalkan Malaysia saban tahun, kata seorang bekas dekan di institusi pengajian tinggi itu.

Menurut Dr Adeeba Kamarulzaman, keadaan tersebut berlaku ekoran kegagalan kerajaan menyelesikan isu dalaman kakitangan penjagaan kesihatan.

Oleh itu, katanya, kerajaan perlu mengambil serius rungutan kakitangan penjagaan kesihatan untuk membendung brain drain (perhijrahan cendekiawan) berkenaan.

"Setiap tahun, UM kehilangan sekurang-kurangnya 30 (graduan) yang terbaik dan cemerlang kepada Singapura. Ingat, kos hampir RM1 juta (digunakan) untuk melatih setiap pelajar ini.

"Dan sekarang, kita juga nampaknya akan membantu mengatasi kekurangan kakitangan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan (NHS) dengan menghantar pegawai perubatan kita ke UK (United Kingdom)," katanya secara sinis di Twitter hari ini.

Adeeba yang pernah berkhidmat sebagai dekan Fakulti Perubatan UM berkata demikian dengan merujuk kepada perjanjian dimeterai di antara Malaysia dan UK.

Melalui perjanjian tersebut kakitangan penjagaan kesihatan Malaysia boleh menjalani latihan di UK dan bekerja dengan NHS di sana.

Katanya, ramai doktor dan pegawai perubatan baru yang berkualiti berhijrah ke luar negara kerana kekurangan jawatan dan laluan latihan yang jelas di Malaysia.

Isu tersebut turut dibangkitkan oleh ramai doktor muda tempatan yang berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia secara kontrak.

Berikutan bantahan oleh doktor muda sebelum ini, kerajaan mengumumkan ia akan membiayai sehingga 3,000 tempat pengajian lanjutan untuk doktor kontrak dan doktor gigi.

Sebelum itu, doktor kontrak tidak layak melanjutkan pengajian bagi membolehkan mereka menjadi pakar.

Adeeba berkata dalam isu berkenaan doktor muda tidak boleh dipersalahkan kerana mereka hanya mencari peluang yang lebih baik di tempat lain selepas kecewa dengan sistem yang ada di Malaysia.

"Bagaimana kita boleh mengharapkan untuk membina sistem kesihatan yang berdaya tahan serta bertaraf dunia apabila penghijrahan dalam dan luaran masih berterusan? Dan kemudian ada jururawat...," katanya merujuk kepada masalah kekurangan jururawat yang teruk atas sebab yang sama.

Dia yang turut dikenali sebagai pakar penyakit berjangkit terkenal di peringkat antarabangsa itu menjawab artikel oleh laman web berita kesihatan Codeblue mengenai penambahbaikan keadaan jabatan kecemasan di hospital awam.

Laman web itu telah melaporkan bagaimana sesetengah pesakit, termasuk mereka yang memerlukan bantuan pernafasan, terkandas sehingga enam hari di zon merah Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh ekoran isu katil dan kakitangan perubatan yang tidak mencukupi.

Sebagai maklum balas, pengarah hospital tersebut, Dr Megat Iskandar Megat Adul Hamid, berkata ia telah melaksanakan unit pengurusan katil untuk mempercepat kemasukan ke wad.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS