PSM senada dengan pandangan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) yang berpendapat hal berkaitan pengurusan pekerja asing sepatutnya berada di bawah Kementerian Sumber Manusia dan bukannya Kementerian Dalam Negeri.
Dalam satu kenyataan, timbalan pengerusinya, S Arutchelvan berkata adalah penting untuk "isu pendatang asing yang telah lama wujud" diletakkan di bawah KSM supaya ia ditangani berdasarkan keperluan.
“Amalan lepas di bawah Kementerian Dalam Negeri penuh dengan skandal dan rasuah.
"Tidak ada gunanya berpusing-pusing dalam isu ini. Buat masa ini, majikan dan kumpulan pekerja bersetuju bahawa ia (pengurusan pekerja asing) mesti di bawah Sumber Manusia (Kementerian)," katanya kepada Malaysiakini.
Arul turut menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mendedahkan laporan yang dibuat oleh Jawatankuasa Bebas Khas Pengurusan Pekerja Asing, yang diketuai bekas hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Hishammuddin Md Yunus, semasa pentadbiran PH.
Dia berkata demikian mengulas kenyataan FMM awal hari ini yang menzahirkan kekecewaan dengan tindakan kerajaan yang sentiasa berubah-ubah terhadap dasar pekerja asing di negara ini.
Presiden FFM, Soh Thian Lai berkata, perubahan dalam dasar ini menyebabkan kekeliruan di kalangan majikan.
