Adakah MB T'ganu mohon maaf? Mungkin tidak, kata Raja Bahrin
Pengerusi PH Terengganu mendakwa, penyokong PAS yang mengundi memilih calon parti itu dalam sesebuah pilihan raya adalah ibarat memberikan "lesen besar" kepada mereka untuk bertindak bebas.
Kata Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, teguran, berhujah dan bermuhasabah seakan-akan tiada dalam amalan hubungan di antara ahli dan pemimpin PAS.
Sedangkan, katanya, Rasulullah yang menggerakkan amalan politik secara Islam sangat mementingkan amalan tersebut.
"Memilih wakil rakyat PAS adalah memberi lesen besar seumur hidup kepada mereka tanpa perlu atau boleh di tegur," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bekas timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata demikian sebagai mengulas 'kehilangan' Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar ketika negeri berkenaan mengalami banjir sejak beberapa hari lalu.
Kerajaan Terengganu kelmarin mengesahkan Ahmad Samsuri berada di New Zealand dan mendakwa naib presiden PAS terbabit akan pulang pada hari berkenaan (21 Dis).

Bagaimanapun setakat laporan ini ditulis, keberadaan Ahmad Samsuri masih tidak dapat dipastikan.
Kata Raja Kamarul Bahrin, seseorang yang berada di luar PAS tidak perlu terlalu berharap untuk melihat ada pemimpin parti terbabit akan merendahkan diri untuk meminta maaf kerana tiada bersama rakyat Terengganu yang diuji bencana.
"Apabila ada seorang ahli PAS menghukum orang lain yang mengundi PH atau BN akan masuk neraka, yang meminta maaf ialah Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, dan bukannya pimpinan PAS.
"Muhyiddin tahu sangat ego pimpinan PAS terlalu besar untuk mmohon maaf," katanya yang dipercayai merujuk kepada insiden Ketua Pemuda PAS Sik, Mohd Shahiful Mohd Nasir, semasa berkempen menjelang PRU ke-15 lalu.
Tunggu dan lihat saja
Antara lain Mohd Shahiful berkata: "Pesan saya kepada semua pengundi-pengundi di Sik yang nak mengundi, balik pangkah BN dan PH masuk api neraka."
Tidak lama kemudian Muhyiddin yang juga presiden Bersatu memohon maaf kepada mana-mana pihak yang tersinggung dengan kenyataan Mohd Shahiful.
Muhyiddin pada masa sama mengingatkan semua calon PN yang berkempen agar mengelak daripada membuat kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham.
Beberapa hari kemudian Mohd Shahiful memohon untuk "berehat" daripada tugasnya.

Kata Raja Kamarul Bahrin dengan pelbagai kenyataan dikeluarkan pemimpin PAS termasuk mengaitkan sesuatu tindakan dengan syurga dan neraka, memang penyokong parti berkenaan semakin takut untuk bersuara.
Kini, katanya, menjadi tanda tanya sama ada Ahmad Samsuri akan tampil memohon maaf atau tidak kerana pergi bercuti dan tidak pulang segera ketika Terengganu dilanda banjir.
"Saya berpendapat kalau mengikut kelazimannya, ia tidak akan berlaku.
"Jika Ahmad Samsuri sanggup meminta maaf, adakah ini akan membuka lembaran baru bahawa permohonan maaf juga akan dibuat oleh pihak yang suka mengkafirkan atau menghukum pihak lawan mereka?
"Kita tunggu dan lihat apa langkah akan di ambil oleh golongan yang berlagak dan ingin dianggap maksum ini," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/773bc8e2b6ecfeb8842185e23619ecc4.jpg)
