Bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, Datuk S Nallakarupan menyifatkan kemasukannya ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) 'ibarat ribut' yang membawa ribuan pengundi India menyertai parti itu.

"Saya telah bawa masuk kira-kira 10,000 orang India...10,000 lagi akan menyertai PKR dalam masa terdekat ini.

"Saya hendak bawa 100,000 orang India masuk PKR dalam tempoh setahun. Mereka datang kerana saya dan juga kerana parti (PKR)," katanya dalam temubual dengan malaysiakini Selasa lalu.

Nalla yang merupakan bekas rakan pemain tenis bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyertai PKR pada 28 Ogos lalu bersama kira-kira 2,000 pengikutnya.

Beliau yakin sasaran untuk membawa 100,000 pengundi kaum India menyertai PKR dalam tempoh setahun, boleh dicapai ekoran sambutan yang menggalakkan sejak kebelakangan ini.

Turun padang

Untuk itu, Nalla berkata, beliau akan turun padang bertemu sendiri dengan masyarakat India untuk mengajak mereka menyertai PKR.

"Saya begitu sibuk menjelajah ke seluruh negara Perak, Johor, Melaka dan negeri-negeri lain juga kerana mereka mahu bersua dengan saya," katanya.

Nalla berkata, beliau sangat gembira kerana semakin ramai masyarakat India memberi sambutan positif kepada parti pembangkang itu.

"Saya jumpa orang India, saya beritahu mereka, saya kini orang parti. Saya ajak mereka mari ikut saya masuk parti baru, iaitu PKR, ini parti Datuk Seri Anwar.

"Kaum India seronok saya masuk parti ini, jadi mereka pun ikut sama masuk PKR, " katanya.

Parlimen Gombak

Nalla berkata, orang ramai, khususnya masyarakat lndia tahu beliau sudah menyertai PKR dan kerana itu mereka mahu ikut serta menjadi ahli parti.

Menurutnya, Naib Presiden PKR, Azmin Ali mahu beliau membawa masuk pengundi India di kawasan Batu Caves menyokong parti itu di Parlimen Gombak dalam pilihanraya umum akan datang.

Nalla berkata, sebelum beliau menyertai PKR, tidak ada orang yang mempedulikan pengundi kaum India sedangkan banyak kawasan Parlimen yang mempunyai ramai pengundi India.

Tetapi, katanya sejak beliau menyertai parti itu Ogos lalu, pengundi India berduyun-duyun menyertai parti itu.

Walaupun telah menjadi ahli PKR, Nalla berkata, beliau masih berkawan dengan pemimpin lain, termasuk Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu.

Q&A: I want to help my friend Anwar