Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy membidas Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berhubung pelantikan pemimpin NGO pro-BN Ramesh Rao sebagai pegawai khasnya bagi menjaga hal ehwal masyarakat India baru-baru ini.

Meskipun tidak menyebut nama Ramesh, Ramasamy dalam satu kenyataan merujuk kepada "pemimpin NGO" yang didakwanya tidak layak memegang jawatan itu.

“Saya tidak pasti sama ada pelantikan sebegini adalah suatu pujian atau penghinaan terhadap kaum India di negara ini.

"Apabila BN secara umumnya tidak dapat menyelesaikan masalah utama masyarakat India, bagaimana mungkin pelantikan seorang pemimpin NGO yang kontroversi akan mengubah nasib masyarakat yang banyak berkorban untuk pembangunan negara," kata Ramasamy.

“Zahid sendiri ketika pelantikan itu berkata dia akan menyalahkan pemimpin NGO itu jika gagal menangani hal kaum India.

"Jadi, jelas sekali bahawa Zahid sedar sepenuhnya tentang kapasiti orang ini tentang apa yang dia boleh dan tidak boleh lakukan," katanya.

Ramasamy juga mempersoalkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana membenarkan Zahid melantik Ramesh, walaupun hal ehwal kaum India bukan portfolio di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

"Sepatutnya Anwarlah yang melihat nasib kaum India dan lain-lain, dan sudah tentu bukan pemimpin yang tidak mempunyai rekod dalam membantu masyarakat berkenaan," tambahnya.

Ramesh mula mendapat perhatian ketika pentadbiran Najib Razak apabila NGO Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) yang diasaskannya kerap membuat laporan polis terhadap pihak yang mengkritik kerajaan.

Dia juga pernah menganjurkan sidang media untuk balu penyiasat persendirian, P Balasubramaniam, A Santamil Selvi bagi memohon maaf kepada Najib dan isterinya Rosmah Mansor.