Budak dipercayai jadi mangsa dera meninggal dunia
Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI), di Johor Bahru petang semalam, dipercayai kerana menjadi mangsa dera.
Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata kanak-kanak terbabit dimasukkan ke HSI sejak 23 Dis selepas dilaporkan pengsan di rumah rakan kepada kakaknya di Senggarang, Batu Pahat, kira-kira jam 6.45 petang.
"Mangsa meninggal dunia pada 6.40 petang semalam setelah menjalani rawatan sejak 23 Dis.
"Proses bedah siasat terhadap kanak-kanak berkenaan akan dibuat pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan, di Johor Bahru hari ini.
Kamarul Zaman berkata mangsa dijaga oleh kakak kandungnya yang berusia 19 tahun setelah kedua-dua ibu bapa mereka dimasukkan ke penjara akibat kesalahan dadah.
Katanya budak terbabit kemudian diserahkan kepada rakan kakaknya untuk dijaga.
Menurut Kamarul Zaman sehari selepas kanak-kanak itu dimasukkan ke hospital, dua lelaki dan tiga wanita telah ditahan, termasuk kakak mangsa dan suaminya untuk siasatan lanjut.
“Kesemua mereka ditahan oleh pihak polis antara jam 12 tengah hari hingga 9.45 malam,” katanya.
Selain itu, polis turut merampas barangan yang disyaki digunakan untuk mendera mangsa.
Antaranya pengecas telefon bimbit, sarung bantal, cadar, batang besi berukuran 29 inci, penyangkut baju, jaring penutup kipas dan batang besi penongkat motosikal.
Dia berkata kesemua individu terbabit direman selama tujuh hari mulai 25 Dis sehingga 31 Dis ini.
Kes berkenaan yang sebelum itu disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh melalui Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/968a9ecda9e5dbc8b64c552848fe5d59.jpg)
