Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu saham Menara KL: TM tak perlu kelulusan saya, kata Annuar

Bekas menteri komunikasi dan multimedia Annuar Musa berkata dia tiada kena mengena dengan pemindahan saham Telekom Malaysia Berhad (TM) dari Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd kepada sebuah syarikat, Oktober lalu.

Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd ialah anak syarikat TM yang menguruskan Menara Kuala Lumpur yang menjadi tarikan pelancongan negara.

Dalam pesanan teks kepada Malaysiakini, dia berkata TM ialah syarikat tersenarai awam dan tidak memerlukan kebenaran menteri untuk memindahkan sahamnya.

“TM bukan bawah menteri komunikasi. Dia syarikat tersenarai awam,” kata bekas menteri itu.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada TM memerlukan kebenarannya sebagai menteri komunikasi ketika itu untuk menjual saham kepada pihak lain.

‘Tiada kena mengena dengan menteri komunikasi. Tanya TM, kalau syarikat untung RM25 juta kenapa mereka tak nak? Dan kenapa nak bagi orang?” tambahnya.

Malaysiakini menghubungi Annuar bagi mendapatkan reaksi berkaitan isu jualan 10 juta saham Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd kepada Hydroshoppe Sdn Bhd.


Baca: Menteri tawar kerjasama penuh jika isu jual Menara KL disiasat


Penjualan saham itu menimbulkan tanda tanya memandangkan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd adalah syarikat yang amat menguntungkan.

Seorang pengguna Twiiter antaranya mendakwa Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd sudah menjadi cash cow atau perniagaan yang memberikan keuntungan konsisten.

Katanya, syarikat itu membuat untung RM66 juta, dengan RM25 juta untung bersih.

Menurut semakan dengan sistem Suruhanjaya Syarikat, Hydroshoppe didaftarkan pada 2008 dengan modal keseluruhan RM1 juta.

Malaysiakini sudah menghubungi unit media TM dan sedang menunggu maklum balas mereka.

Menteri Komunikasi Dan Digital Fahmi Fadzil, yang menggantikan Annuar, berkata kementerian akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS