Bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan mencadangkan parti itu menubuhkan unit kajian sendiri bagi membolehkan parti itu menjadi “parti kelas pertama".

Dalam klip video pendek yang dimuat naik di Twitternya semalam, Shahril memetik kejayaan Invoke Solution Sdn Bhd, sebuah syarikat penyelidikan data yang ditubuhkan oleh Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

“Cadangan spesifik bergerak ke hadapan ini, saya ingat kita (Umno) kena ada satu komitmen untuk buat department RND (penyelidikan dan pembangunan) ataupun kajian yang betul-betul real, bukan yang tangkap muat.

“Selama ini pun, orang Umno ramai yang merasakan Invoke itu contohnya, hebat. Dah tiba masanya lah kalau kita rasa Invoke itu hebat, kita pun buat something macam itu," katanya.

Tarik 'pengundi senyap'

Jabatan baharu itu, tambah Shahril, harus membuat tinjauan, panggilan dan penyelidikan di kalangan kumpulan fokus untuk mengukur sentimen nasional.

Menurutnya, ini kerana program yang dijalankan di lapangan telah terbukti tidak lagi boleh membaca tahap sokongan sebenar.

"Gelombang pengundi ni, dia sokong ke, dia tolak ke, silent (senyap), susah nak baca dah.

"Sama ada kita outsource kepada pasukan yang ada kepakaran, atau pun kita bina dalam masa penggal yang akan datang. Umno kalau nak jadi first class party lagi, kena ada first class intel, dengan research department, untuk tangkap gelombang yang silent.

“Dengan research dan intel department yang hebat ini, mudah sikit kita nak tahu naratif apa yang kena buat dalam media," katanya.