Majlis Keselamatan PBB seru Taliban batal dasar halang wanita ke U
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggesa Taliban menarik balik dasar menyekat wanita untuk mengikuti pengajian di universiti, lapor Agensi Anadolu.
Majlis yang dianggotai 15 wakil negara itu turut mengecam tindakan Kabul menggantung sesi persekolahan untuk gadis Afghanistan serta menuntut penyertaan penuh, sama rata dan bermakna bagi golongan wanita.
Terdapat laporan bahawa Taliban melarang pekerja wanita yang berkhidmat dengan organisasi antarabangsa daripada pergi bekerja, justeru majlis itu menjelaskan tindakan berkenaan akan memberi kesan yang ketara ke atas operasi kemanusiaan di Afghanistan.
Ketua bantuan PBB Martin Griffiths dalam taklimatnya kepada anggota Majlis Keselamatan PBB minggu lalu memberi gambaran tentang situasi kemanusiaan yang suram di Afghanistan.
Katanya 97 peratus rakyat Afghanistan hidup dalam kemiskinan dan 20 juta orang berdepan isu kelaparan yang teruk.
Taliban gagal memenuhi janji mereka kepada masyarakat antarabangsa.
Wanita dan kanak-kanak perempuan telah dilucutkan hak mereka, termasuk hak untuk mendapat pendidikan sejak Taliban kembali berkuasa pada 15 Ogos 2021.
Kanak-kanak perempuan pula dihalang daripada menghadiri sekolah menengah dan sekolah tinggi.
Ramai wanita menuntut hak mereka dikembalikan dengan turun ke jalan raya, membantah dan menganjurkan kempen.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/05/26f76c736d357ba5aa0590a32c8eb498.png)
