Kit Siang: PM perlu segerakan pembaharuan institusi
Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim melaksanakan sebanyak mungkin pembaharuan institusi secepat mungkin kerana menurutnya seteru politik kerajaan akan berusaha menjatuhkannya sebelum habis penggal.
Dalam satu kenyataan hari ini Lim, yang berkhidmat hampir 50 tahun di Parlimen, menggesa Anwar supaya tidak mengendahkan kritikan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan mempelajari pengajaran paling penting ketika pentadbiran 22 bulan Pakatan Harapan (PH).
“Anwar mesti melaksanakan janji yang dibuatnya selepas dilantik sebagai perdana menteri ke-10 oleh Yang di Pertuan Agong bahawa dia tidak akan berkompromi dalam tadbir urus yang baik, usaha antirasuah, kebebasan kehakiman dan kebajikan rakyat Malaysia,” kata Lim .
Lim berkata Anwar harus sedar bahawa ada kuasa politik yang berpakat untuk menjatuhkannya seawal mungkin.
“Anwar dengan sewajarnya sudah mengadakan undi percaya dalam mesyuarat dua hari sidang parlimen minggu lepas.
“Dia perlu menjadikan mesyuarat parlimen Februari 2023 sebagai sidang Dewan Rakyat yang paling penting dan bersejarah dalam tempoh 66 tahun parlimen dengan memulakan beberapa siri reformasi institusi,” tambahnya.
Lim berkata Mahathir telah terlepas peluang bersejarah untuk menjadikan Malaysia hebat semula dan ini adalah kesilapan yang tidak sepatutnya diulangi oleh Anwar.
“Walaupun kerajaan PH yang dipimpin Mahathir telah digulingkan secara tidak berperlembagaan dan tidak sah oleh konspirasi politik Langkah Sheraton, Mahathir tidak terlepas tanggungjawab sepenuhnya,” tegasnya.
Mahathir yang memimpin Pejuang dan Gabungan Tanah Air (GTA) mengalami kekalahan teruk dalam PRU15 dan semua calon partinya kehilangan wang deposit.
Bagaimanapun, Mahathir baru-baru ini masih menyatakan keraguan tentang keupayaan Anwar dan mengkritik PH serta BN kerana membentuk kerajaan bersama, dengan mengatakan bahawa ia akan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap janji dan pendirian parti politik.
Lim berkata bahawa Anwar harus menggunakan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) sebagai satu penanda aras.
“Sudah terlambat untuk kerajaan pimpinan Anwar melakukan apa sahaja untuk menambah baik Laporan TI 2022 CPI Malaysia, tetapi kerajaan Anwar harus melakukan yang terbaik untuk memastikan Laporan TI 2023 CPI Malaysia adalah yang terbaik untuk Malaysia.
“Ia mungkin lebih baik daripada Laporan CPI TI 2019, yang merupakan yang terbaik dalam 25 tahun sejak Transparency International memulakan siri CPI tahunannya pada 1995,” katanya.
Lim juga menggesa pelan integriti awam baru untuk menjadikan Malaysia antara 30 negara teratas di dunia dalam TI CPI tahunan pada 2030-an dan 2040-an.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, serta semua NGO dan NGI Malaysia yang berminat, perlu dijemput dalam tempoh sebulan untuk mengemukakan cadangan Pelan Pencegahan Rasuah Nasional Malaysia untuk meletakkan Malaysia dalam kalangan 30 negara teratas di dunia dalam integriti awam.
“Pelan sebegini sepatutnya dilancarkan semasa parlimen Februari 2023. Itu akan memberi permulaan yang baik untuk sidang parlimen pada Februari 2023 dan kerajaan perpaduan Anwar,” kata Lim.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/03/3425c9e58102a66d44c3f648e70ac1ad.jpg)
