'Jual' pingat kebesaran: Dua lelaki hadapi 29 pertuduhan
Dua bekas kakitangan pejabat setiausaha kerajaan negeri (SUK) Pahang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan dan berdepan dengan 29 pertuduhan hari ini.
Mohd Isa Mohd Yusof, 36, menghadapi 26 pertuduhan menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan nombor pengenalan miliknya untuk memasukkan 26 nama individu ke laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat Pahang.
Mereka dimasukkan sebagai penerima pingat membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri daripada Sultan Pahang.
Mohd Isa didakwa melakukan kesalahan itu antara 19 Feb 2020 hingga 12 Okt 2021 di pejabat SUK Pahang di Kuantan.
Sementara itu Muhammad Amer Syafeeq pula dikenakan tiga pertuduhan iaitu memasukkan tiga nama individu ke laman sesawang sama dan menyebabkan pengubahsuaian kandungan dalam sistem komputer itu.
Tertuduh yang berusia 30 tahun itu didakwa melakukan tersebut antara 18 Ogos 2021 hingga 4 Okt 2021 di tempat sama.
Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan selesai dibaca di hadapan hakim Maimoonah Aid.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997.
Pendakwaan dijalankan oleh Pengarah Pendakwaan Pahang, Abdul Ghafar Ab Latif, bersama timbalan pendakwa raya Fathin Nadhirah Kasim.
Mohd Isa tidak diwakili peguam manakala Noor Azmi Kasam mewakili Muhammad Amer.
Jika sabit kesalahan kedua-dua mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.
Mereka juga boleh dikenakan denda maksimum RM150,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika perbuatan itu dilakukan dengan niat menyebabkan kecederaan seperti ditakrif dalam Kanun Keseksaan.
Mahkamah kemudian membenarkan mereka diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 13 Feb tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/09/23ae3b78d79dcef6871a2922a59e85c5.jpg)
