Mohd Sharkar, Lee dilantik speaker, timbalan speaker DUN Pahang
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Sharkar Shamsudin dilantik sebagai speaker dewan undangan negeri (DUN) Pahang yang baharu.
Dia menggantikan Ishak Muhammad yang memegang jawatan Speaker DUN sejak tahun 2013.
Usul pelantikan itu dicadangkan Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail dan disokong ahli dewan undangan negeri (Adun) Benta, Mohd Soffi Abdul Razak.
Selain Mohd Sharkar, sidang DUN Pahang bagi penggal ke-15 yang berlangsung pagi tadi juga menyaksikan setiausaha DAP Pahang yang juga Adun Bilut, Lee Chin Chen dilantik sebagai timbalan speaker DUN.
Mohd Sharkar sebelum ini adalah bekas Adun Lanchang sejak tahun 2004 dan pernah memegang beberapa jawatan exco kerajaan Pahang.
Dia tidak mempertahankan kerusi DUN Lanchang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan bertanding di kerusi Parlimen Temerloh.
Mohd Shakar bagaimanapun tewas pada PRU15 dalam pertandingan empat penjuru yang menyaksikan calon Perikatan Nasional (PN), Salamiah Mohd Nor menang dengan majoriti 5,520 undi.
Sementara itu, Lee pula adalah Adun Bilut bagi penggal kedua.
Dia mula menjadi Adun di Pahang pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) selepas memenangi kerusi DUN Ketari.
Lee kemudiannya bertanding di kerusi DUN Bilut pada PRU14 dan PRU15.
Pada PRU15, dia menang dengan majoriti 3,111 undi menewaskan calon daripada BN, Wong Siew Mun, calon PN, Chandra Balabedha dan calon Pejuang, Mohd Shokri Mahmood.
Sidang DUN Pahang hari ini juga menyaksikan 17 Adun daripada PN dan 17 Adun daripada Barisan Nasional (BN).
Turut mengangkat sumpah ialah lapan Adun Pakatan Harapan (PH).
Adun Cheka yang juga Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man pula dipilih sebagai ketua pembangkang bagi sesi sidang DUN kali ini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/05/5973d94850722b9e24d02d5244dc852b.jpg)
