Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adakah Malaysia sudah iktiraf Taliban, soal Saifuddin

Saifuddin Abdullah mempersoalkan tindakan Menteri Pengajian Tinggi Mohd Khaled Nordin mengutus surat kepada Kementerian Pengajian Tinggi Afghanistan, berhubung pengharaman golongan wanita untuk memasuki universiti di negara itu.

Saifuddin yang merupakan bekas menteri luar berkata, ia seolah-olah menggambarkan kerajaan Malaysia sudah mengiktiraf kerajaan Afghanistan yang diterajui Taliban.

"Saya tiada komen berkenaan kandungan surat, cuma saya nak dapatkan reaksi Kementerian Luar adakah sudah ada dasar mengiktiraf pentadbiran Taliban kerana ini adalah surat rasmi seorang menteri kepada seorang menteri negara lain.

"Secara lazimnya, (surat rasmi) hanya diutuskan apabila kita mengiktiraf kerajaan atau pun pentadbiran negara tersebut dan setakat yang saya tahu, setakat pentadbiran yang lalu, kita belum iktiraf kerajaan atau pihak berkuasa di Afghanistan," katanya dalam sidang media di Kuantan, petang tadi.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu turut berkata, sekiranya ada perbincangan dengan menteri-menteri Afghanistan sebelum ini, ia dilakukan secara tidak rasmi.

Pada 26 Disember lalu, Mohamed Khaled memaklumkan dia menghantar surat kepada Pemangku Menteri Pengajian Tinggi Afghanistan Neda Mohammad Nadem dan Duta Afghanistan di Malaysia, Dr Moheb Rahman Spinghar.

Surat itu antara lain meminta kerajaan Afghanistan mengkaji semula keputusan mengharamkan golongan wanita daripada memasuki universiti kerana ia akan menjejaskan pembangunan pendidikan umat Islam pada masa akan datang.

Kata Khaled, Malaysia telah membuktikan bahawa wanita mampu meningkatkan reputasi negara melalui pendidikan yang mantap.

Lihat Komen
ADS