Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen, di Kuala Lumpur, atas pertuduhan menganiaya anak lelaki mereka berusia lapan tahun sehingga menyebabkan kecederaan, minggu lalu.
Tertuduh, Abu Bakar Rahman, 32, seorang buruh dan isterinya, penjual buah warga Indonesia, Andia Rosa, 35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Nu'aman Mahmud Zuhudi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di sebuah rumah di Kampung Segambut Tengah, di sini, pada 23 Disember lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Ngoh Jess Lynn, mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap Abu Bakar, manakala Andia tidak ditawarkan jaminan kerana wanita itu adalah warga asing.
Abu Bakar, yang tidak diwakili peguam, merayu jaminan itu dikurangkan.
Mahkamah membenarkan Abu Bakar diikat jamin RM10,000, dengan seorang penjamin, manakala Andia tidak dibenarkan diikat jamin dan 16 Januari depan ditetapkan untuk sebutan kes.
- Bernama
