Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenapa tambang bas sekolah cecah RM300 sebulan tahun depan?

Kadar tambang bas sekolah di beberapa tempat terpaksa dinaikkan susulan peningkatan kos operasi melibatkan pelbagai aspek, kata Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM). 

Perkara itu, kata presidennya  Mohd Rofik Mohd Yusof, termasuk kekurangan permintaan daripada ibu bapa, peningkatan kos alat ganti kenderaan dan gaji pemandu bas.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak sama mengikut lokasi.

“Kalau ada satu taman perumahan ada lima orang sahaja nak beroperasi macam mana kalau dia punya tambang itu dia letak dalam RM70 ke RM150. 

“Saya ingat kos dia mengatasi pulangan. Dia berpandu jumlah pelajar dan juga jarak sekolah.

“Kalau bawa dua tiga orang tak boleh tampung kos operasi,” jelasnya kepada Malaysiakini.

Kosmo! hari ini  melaporkan kenaikan tambang bas sekolah mencecah RM300 sebulan di Pulau Pinang sehingga mengundang keluhan ibu bapa.

Rata-rata ibu bapa menyifatkan ia keterlaluan selain didakwa cuba mengambil kesempatan, tambahan lagi ketika kos hidup meningkat.

Berkaitan gaji pemandu bas, Mohd Rofik berkata gaji perlu dibayar setiap bulan walaupun cuti sekolah.

“Pengusaha bas sekolah dapat pendapatan 11 bulan sahaja dalam tempoh setahun sedangkan dia bayar gaji pemandu setahun penuh.

“Dia kena bayar cukai dan insuran untuk setahun, semua setahun tapi pendapatan tak sampai setahun. 

“Ini semua yang kadang-kadang mereka kena tampung kos operasi ni,” jelasnya.

Mengulas keluhan ibu bapa, dia meminta mereka berbincang terlebih dahulu dengan pihak pengusaha.

“Pengusaha pun tak boleh paksa ibu bapa untuk bayar tinggi, ibu bapa pun tak boleh paksa pengusaha untuk memberi perkhidmatan tanpa kos,” tambah presiden GPBSM itu.

Lihat Komen
ADS