Datuk S Nallakarupan bekas rakan pemain tenis mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak mahu lagi mengingati kisah ditahan di dalam Penjara Sungai Buloh pada 1998.

Bekas timbalan ketua pemuda MIC itu didakwa dan dijatuhkan hukuman setahun penjara atas tuduhan memiliki peluru dengan permit yang sudah tamat tempohnya.

Pada 2 September 1998, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah memecat Anwar dari jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Berikutan itu para penyokong Anwar telah melancarkan reformasi dan gerakan anti-kerajaan khususnya terhadap Dr Mahathir.

"Saya tidak boleh melelapkan mata jika mengenangkan tali gantung dalam sel penjara," katanya dalam satu temubual dengan malaysiakini di pejabatnya di Bangsar, di ibu negara baru-baru ini.

Nalla kini merupakan orang kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) setelah menyertai parti pembangkang itu pada 21 Ogos tahun lalu.

Beliau berkata, apa yang perlu difikirkan sekarang ialah masa depan serta perniagaannya dan bukan lagi kisah silam yang menakutkan itu.

"Biar saya mulakan hidup baru," katanya sambil menambah hanya orang yang pernah mengalaminya dapat merasakan pengalaman sebegitu.

Khabar angin

Malah, kata Nalla, khabar angin mengatakan beliau mati dalam sel tahanan di Penjara Sungai Buloh disiarkan dalam akhbar.

Menurutnya, wartawan akhbar bertanyakan perkara itu kepada Ketua Polis Negara ketika itu , Tan Sri Rahim Noor tetapi beliau menafikan khabar angin tersebut.

"Anak-anak dan isteri saya menangis di penjara, saya tidak dapat melihat muka isteri. Kerana berita tersebut, isteri saya bersama anak-anak telah berpindah pada jam 5 pagi," katanya.

Nalla berkata, beliau tidak dapat berjumpa dengan isteri dan anak-anaknya selama setahun dan ini sungguh menyakitkan hatinya.

Selepas dibebaskan, Nalla meninggalkan negara ini setelah dicadangkan berbuat demikian oleh kawan-kawannya.

"Mula-mula saya ke Singapura tetapi sehari sahaja dan selepas itu ke India. Di India saya pergi kuil dan bersembahyang sebelum kembali ke Malaysia," katanya.

Nalla mempunyai tiga orang anak, masing-masing berusia 14, 13 dan tujuh tahun iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.