Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Perlu langkah segera hadapi varian baru Covid-19

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berharap kerajaan dapat mengambil langkah segera dalam memastikan rakyat selamat daripada jangkitan varian baru Covid-19 pada tahun ini, susulan ia telah dikesan di beberapa negara.

Menerusi perutusan tahun baru 2023 yang dikongsikan melalui akaun Facebook rasminya, bekas perdana menteri itu turut merakam harapan agar kerajaan dapat melaksanakan langkah bagi meringankan beban kehidupan rakyat, terutamanya dalam menghadapi suasana ekonomi yang dijangka lebih mencabar tahun ini.

“Lebih 60 peratus penduduk negara kita sebenarnya tergolong dalam kumpulan miskin dan berpendapatan rendah. Mereka memerlukan pembelaan segera daripada kerajaan," kata presiden Bersatu itu.

Justeru, muhyiddin menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi tumpuan kepada perkara penting itu menerusi langkah yang mesti diputuskan Majlis Kos Sara Hidup Kebangsaan dan dilaksanakan oleh setiap agensi kerajaan berkaitan.

"Marilah kita sama-sama berdoa semoga negara kita dilindungi daripada sebarang musibah dan kita semua dapat menjalani kehidupan dalam keadaan yang aman, selamat dan sejahtera," kata bekas pengerusi Majlis Pemulihan Negara itu.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga menasihatkan rakyat mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan berhubung cara untuk menghindari jangkitan Covid-19 termasuk keperluan mengambil suntikan dos penggalak.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS