Mesyuarat khas Jaim bincang isu pelancong berbikini di Pulau Besar
Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) akan mengadakan mesyuarat khas dengan agensi berkaitan bagi membincangkan isu pelancong asing yang dikesan memakai bikini di Pulau Besar, Melaka.
Pulau Besar dipercayai merupakan lokasi penyebaran agama Islam di Kepulauan Melayu pada abad ke-15 dan mempunyai banyak tempat bersejarah termasuk makam tokoh ulama Islam.
Pulau itu juga dikenali dengan pantainya yang bersih.
Tangkapan layar rakaman video - dilaporkan pada Krismas lalu - didakwa menunjukkan beberapa wanita, dikatakan pelancong asing, memakai bikini di pulau itu.
Malaysiakini tidak menjumpai video atau tangkapan layar asal yang telah ditapis oleh beberapa media tempatan.
Pengarah Jaim, Che Sukri Che Mat berkata perbuatan itu mencemarkan imej dan kesucian Pulau Besar, dan menimbulkan rasa kurang senang orang ramai.
Bagaimanapun, katanya, memandangkan pelancong terbabit merupakan bukan Islam, pihaknya tidak boleh mengambil sebarang tindakan.
Justeru, Che Sukri berkata satu pertemuan antara Jaim dan pelbagai agensi termasuk polis akan diadakan pada Selasa ini bagi membincangkan isu berkenaan.
“"Mesyuarat itu bakal membincangkan apakah tindakan terbaik boleh diambil terhadap pelancong asing yang merosakkan imej serta kesucian Pulau Besar ini yang selama ini dihormati dengan nilai-nilai sejarah bermulanya tamadun Islam,",” katanya dilapor Berita Harian.
Dalam pada itu, katanya, Jaim akan mencadangkan agar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) meletakkan papan tanda bagi mengingatkan pelancong supaya berpakaian sopan dan tidak melakukan aktiviti yang bertentangan dengan ajaran Islam - seperti membawa arak ke pulau itu.
Dia berkata pengusaha bot dan penginapan juga boleh membantu pihak berkuasa dengan menasihati pelancong, yang mungkin ada antara mereka tidak mengetahui sejarah Islam di pulau itu.
"Pakaian sedemikian (berkini) hanya sesuai di bilik dan bukan ditunjukkan kepada masyarakat di Pulau Besar... jangan memandang enteng," katanya.
Ini bukan kali pertama penglibatan Jaim di Pulau Besar menjadi tajuk berita.
Pada Jan 2021, jabatan agama Islam itu dilapor menyiasat amalan yang menyeleweng daripada ajaran Islam di pulau itu.
Pulau Besar dahulunya terkenal sebagai lokasi pemujaan di makam tokoh para ulama yang dianggap bertentangan dengan ajaran Islam.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/20bbfa736c058e5cfb1e0ae9dc40e8b9.jpg)
