Kerajaan akan melaksanakan perubahan besar bagi menangani masalah pelekat cukai jalan kenderaan yang tidak berkualiti.

“Saya tahu ramai orang mengadu berkenaan pelekat cukai jalan yang kurang berkualiti. 

“Perkara itu memang dalam perhatian kami dan satu perubahan besar bakal dilaksanakan dalam tahun ini,” kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Menulis di media sosialnya malam tadi, Loke berkata pelaksanaan inisiatif baru akan dirancang dengan rapi dan dia akan mengumumkannya apabila persediaan penuh telah dibuat.

“Agenda utama kita ialah mempermudahkan urusan rakyat dan saya tak ingin melihat orang ramai beratur panjang di pejabat-pejabat yang menyusahkan mereka,” katanya.

Loke mengumumkan perkara itu setelah bermesyuarat dengan  pengurusan tertinggi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan mendapat taklimat berkenaan perancangan JPJ untuk tahun 2023.

Selain itu, dia juga berkata agenda utama JPJ tahun ini ialah melaksanakan digitalisasi dalam perkhidmatan teras kepada rakyat seperti pelesenan kenderaan dan pemandu, selain memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang jalan raya.