Sebulan selepas memegang jawatan sebagai menteri ekonomi, Rafizi Ramli berkata kesan perencanaan ekonomi memerlukan masa yang panjang sebelum hasilnya dirasai.

Menerusi Twitter semalam, ahli Parlimen Pandan itu berkata, ini apatah lagi dalam suasana ekonomi global yang mencabar dan kedudukan kewangan negara yang dilemahkan oleh ketempangan tadbir urus sebelum ini.

“Ada perkara yang boleh diusahakan supaya hasilnya dirasai cepat, namun kebanyakan perencanaan ekonomi akan mengambil masa lebih setahun, sementara sebahagian besarnya memakan lebih masa.

“Sebab itu masa sebulan saya habiskan berjumpa dan berbincang dengan pemegang taruh (stakeholders) utama ekonomi negara. Mereka termasuklah pembuat dasar, pelaksana, pihak swasta dan pemegang taruh lain,” katanya sambil menambah bahawa secara umumnya, kesemua pihak memahami hala tuju ekonomi yang hendak dibawa.

Menurut Rafizi, kerajaan bertanggungjawab mengalih haluan ekonomi ke arah ekonomi bernilai tinggi supaya rakyat mendapat gaji yang boleh mengimbangi tekanan inflasi.

Katanya, dia mengambil maklum kritikan daripada ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) yang mempertikaikan setiap usaha kerajaan dan berkata ia antara cabaran yang akan disahutnya.

'Rakyat boleh menilai saya'

“Soal keperluan menganjak ekonomi negara ke arah ekonomi digital berteraskan inovasi, ekonomi yang seimbang dengan kelestarian alam sekitar, aplikasi teknologi yang meningkatkan produktiviti dan kecekapan – ini semua matlamat ekonomi yang tidak boleh dipertikaikan.

“Ujian sebenar saya ialah bagaimana berjaya melaksanakan anjakan-anjakan ini yang kesannya dapat dirasai oleh rakyat.

“Setelah sebulan, ada idea dan pendekatan baru yang saya rasakan akan beri nilai pulang lebih baik bagi setiap satu ringgit wang rakyat yang dibelanjakan kerajaan,” katanya.

Dia berkata, masa sebulan telah memberinya gambaran yang mencukupi untuk berlari dengan lebih pantas mulai Januari ini.

“Ada yang kesannya dapat dirasai segera, ada yang hasilnya hanya dapat dituai dalam setahun, dua tahun dan tahun-tahun yang akan datang.

“Kalau sepuluh kami usahakan, kalau pun tidak semua membuahkan seratus peratus hasil seperti yang dirancang, sebahagian besarnya akan mempunyai impak jangka masa sederhana dan panjang kepada negara.

“Selepas lima tahun, insya-Allah saya serahkan kepada penilaian rakyat mengenai prestasi saya sebagai menteri dan PKR/PH sebagai sebahagian dari kerajaan,” katanya.