'Apa Khabar Orang Kampung': Rayuan ditolak
Jawatankuasa Rayuan Filem telah menolak rayuan Amir Muhammad terhadap keputusan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) yang mengharamkan filem arahannya Apa Khabar Orang Kampung kerana didakwa mengagung-agungkan perjuangan 'barisan bersatu komunis'.
Jawatankuasa Rayuan Filem telah menolak rayuan Amir Muhammad terhadap keputusan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) yang mengharamkan filem arahannya Apa Khabar Orang Kampung kerana didakwa mengagung-agungkan perjuangan 'barisan bersatu komunis'.
Menurut surat yang dihantar oleh Bahagian Kawalan Filem, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, jawatankuasa berkenaan telah bersidang pada 21 Mac lalu untuk membincangkan surat rayuan Amir yang bertarikh pada 26 Februari lalu.
Sehubungan itu, surat tersebut, yang juga bertarikh 21 Mac, menegaskan bahawa jawatankuasa berkenaan sependapat dengan keputusan LPF yang tidak meluluskan filem tersebut untuk tayangan.
Dengan itu, surat tersebut yang ditandatangani oleh Penolong Setiausaha 'C', bagi pihak Ketua Setiausaha kementerian berkenaan mengingatkan bahawa mengikut Seksyen 23 (2) Akta Penapisan Filem 2002, sebarang keputusan Jawatankuasa Rayuan Filem adalah muktamad.
Salinan surat tersebut yang dihantar kepada Da Huang Pictures Sdn Bhd, disiarkan dalam blog Amir.
Dalam reaksinya dalam blog yang sama, Amir memetik kata-kata seorang bijak pandai bahawa ""Rezeki ada di mana-mana..."
Katanya, beliau amat kecewa dengan keputusan tersebut tetapi menegaskan bahawa "sekurang-kurangnya ia akan ditayangkan di Singapura bulan depan".
"...dan sehingga ini ia telah disahkan akan ditayangkan di sembilan lagi festival filem," katanya sambil menambah, beliau telah mula mengarahkan filem berikutnya.
Keputusan muktamad
Ketika dihubungi malaysiakini hari ini, Amir berkata, beliau tidak akan merayu lagi kerana keputusan jawatankuasa rayuan itu adalah muktamad.
Sebelum ini, Amir telah menghantar filemnya kepada LPF pada 18 Januari lalu untuk mendapatkan kelulusan tayangan dan keputusan mengharamkannya dibuat pada 12 Februari. Lembaga itu memberi tujuh sebab mengapa filem itu diharamkan.
Sementara itu, Pusat Kewartawanan Independen (CIJ) juga dilaporkan menggesa supaya pengharaman ke atas filem terbaru Amir itu ditarik balik.
Pengarah Eksekutifnya, Sonia Randhawa berkata, alasan yang diberikan oleh lembaga penapisan itu melanggar Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara.
Malah, katanya, hak untuk mengkritik dasar dan tindak tanduk kerajaan adalah satu aspek penting dalam mana-mana sistem demokrasi.
Selain filem, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri baru-baru ini turut mengharamkan 56 buah buku.

