Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan mengetatkan pemeriksaan kesihatan ke atas pelancong asing berikutan lonjakan kes Covid-19 di negara lain.

Bercakap pada sidang media yang diadakan selepas mesyuarat kabinet hari ini, Anwar menegaskan langkah itu akan dilaksanakan tanpa diskriminasi.

Perdana menteri juga menegaskan kerajaan akan sentiasa memberikan keutamaan terhadap kesihatan dan keselamatan rakyat.

"Hal yang turut dibincang lama dengan menteri kesihatan dalam kabinet tadi ialah soal langkah-langkah tambahan untuk menangani masalah yang mungkin berbangkit - Covid-19 termasuk varian baru.

"Menteri Kesihatan telah diberi mandat untuk penjelasan lanjut, tapi saya nak beri penjelasan, kabinet putuskan tanpa ragu masalah kesihatan rakyat itu hal yang utama.

"Soal pelancongan atau pertumbuhan ekonomi itu tak boleh atasi kepentingan mengawal dan merawat rakyat dari segi wabak dan jangkitan termasuk Covid-19," katanya.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Malaysia tidak mendiskriminasi mana-mana negara dalam menjalankan pemeriksaan Covid-19 terhadap pelancong yang tiba di negara ini, namun mahu memastikan kesihatan rakyat adalah keutamaan, kata Anwar.

Beliau berkata kawalan di pintu masuk negara oleh Jabatan Imigresen juga diperketatkan bagi memantau kemasukan rakyat asing ke Malaysia.

“Kalau kita lihat umpamanya kadar jangkitan (Covid-19) di China yang diuar-uarkan, ia tinggi dan kita juga tahu kadar kematian di Amerika Syarikat akibat Covid-19 juga tinggi, dan begitu juga beberapa negara lain.

“Jadi kita ambil tindakan untuk menyelamatkan rakyat kita, jadi sesiapa sahaja yang masuk (ke Malaysia) harus dipantau dan dikenakan syarat yang sama,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, hari ini.

Anwar berkata dalam mesyuarat hari ini Jemaah Menteri juga berpendapat urusan pelancongan mahupun ekonomi tidak boleh mengatasi kepentingan negara dalam mengawal jangkitan sebarang wabak terhadap rakyat termasuk Covid-19.

Menurut Perdana Menteri laporan media yang dikeluarkan berkaitan pelancong China juga berbeza dengan fakta sebenar yang berlaku, serta tidak memberi kesan kepada kadar jangkitan di negara ini.

“Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution) berikan jumlah pelawat dari China umpamanya untuk 2022 adalah 336,000 orang dengan majoriti besar adalah pelancong, dan tidak beri kesan sebagaimana yang digembar-gemburkan.

“Disember sahaja pelawat China adalah 53,000 orang, jadi kita tak melihat lonjakan jangkitan yang mengaitkan mana-mana negara,” katanya yang turut menjelaskan angka itu tidak bermakna Malaysia memberi kelonggaran kepada mana-mana negara untuk masuk ke Malaysia.

Penghujung tahun lepas, China melaporkan berlaku lonjakan kes Covid-19 berikutan varian Omicron yang merebak dengan pantas, dan beberapa negara mengambil keputusan untuk menyekat kemasukan pengembara dari China ke negara mereka sebagai langkah menghalang penularan wabak itu.