mk-logo
Berita
Isu kerakyatan anak: Cadangan pinda perlembagaan tak lama lagi - Azalina
Diterbitkan:  Jan 5, 2023 8:30 AM
Dikemaskini: 12:34 AM

Cadangan untuk meminda peraturan kerakyatan Perlembagaan Persekutuan akan dibentangkan di kabinet tidak lama lagi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

"Insya-Allah, saya dan (Menteri Dalam Negeri) Saifuddin Nasution Ismail dalam masa terdekat akan kemukakan Memorandum Jemaah Menteri bersama ke kabinet untuk cadangan pindaan Bahagian II Jadual Ke-2 Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan isu kewarganegaraan,” katanya pada ciapan di Twitter malam tadi.

Walaupun dia tidak menghuraikan jenis pindaan yang akan dicadangkan, dia telah memaklumkan NGO Family Frontiers pada hantaran di media sosial mengenai pengumuman itu.

Pejabatnya kemudian mengesahkan dengan Malaysiakini pindaan itu berhubung kerakyatan untuk anak kepada ibu warga Malaysia dan bapa warga asing, yang lahir di luar negara.

Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan membentangkan peraturan kerakyatan seseorang yang dilahirkan selepas Hari Malaysia sama ada boleh atau tidak boleh menjadi warganegara Malaysia.

Family Frontiers kini terlibat dalam tuntutan mahkamah berpaksikan peruntukan tertentu dalam jadual yang membolehkan bapa Malaysia - tetapi bukan ibu Malaysia - secara automatik memberikan kewarganegaraan Malaysia kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Kumpulan itu berhujah bahawa ibu juga wajar mempunyai hak yang sama untuk mewariskan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka.

Bulan lalu, Saifuddin berikrar akan mengutamakan isu kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu Malaysia.

Manifesto pilihan raya PH dan BN pada pilihan raya umum lalu juga menjanjikan pindaan perlembagaan yang akan memberi kedua-dua bapa dan ibu hak untuk kerakyatan kepada anak-anak mereka.

Lihat Komen
ADS