Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi enggan mengulas berkaitan spekulasi terdapat percaturan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada pimpinan Anwar Ibrahim.

“Saya mendengar khabar angin. 

“Saya tidak membuat keputusan berdasarkan khabar angin,” katanya yang juga presiden Umno.

Digelar sebagai “Langkah London”, tersebar dakwaan di Internet bahawa kemungkinan terdapat pertemuan antara pemimpin kanan Perikatan Nasional (PN) dan dua pemimpin kanan Umno di London.

Pertemuan itu malah didakwa yang kedua selepas pertemuan sama di Jakarta sebelum itu.

Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob semalam menafikan dia mempunyai kaitan dengan perkara itu dan menyifatkannya sebagai “fitnah yang berniat jahat”.

Ismail Sabri berkongsi gambar dia berada di Warner Bros Abu Dhabi, bukan London seperti didakwa

Belum pun reda, khabar angin itu disemarakkan dengan kenyataan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin yang tidak menolak prospek PN kembali berkuasa selepas menjalin pakatan baru.

Mengutarakan keyakinan untuk menawan Selangor, dia berkata "pintu sentiasa terbuka” untuk BN.

Ditanya pemberita berkaitan kenyataan Hamzah itu, perkara itu juga enggan diulas oleh Zahid.

“Saya tak mahu campur dalam hal ehwal parti lain,” katanya.