Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kartel kuasai bandar Mexico lepas anak raja dadah El Chapo ditahan

GLOBAL | Lelaki bersenjata bertindak membakar kenderaan, menyerbu sebuah lapangan terbang dan menjadikan beberapa orang sebagai tebusan, di utara Mexico pada Khamis, selepas tentera menahan Ovidio Guzmán, seorang daripada pemimpin kartel paling dikehendaki di dunia yang juga anak kepada raja dadah terkenal Joaquín “El Chapo” Guzmán.

Ketua dadah itu ditahan dalam satu pertempuran di bandar Culiacán, kubu kuat kartel Sinaloa Guzmán dan kemudian diterbangkan ke Mexico City, menurut Setiausaha Pertahanan Mexico Luis Cresencio Sandoval González, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Susulan itu, pihak berkuasa terpaksa membatalkan perkhidmatan penerbangan, menutup sekolah dan mengarahkan penduduk berlindung.

Sandoval berkata keganasan terburuk tertumpu di Culiacán apabila anggota kartel menyekat semua enam pintu masuk ke bandar, membakar kenderaan dan menyerbu lapangan terbang di bandar itu serta pangkalan tentera udara yang terletak berhampiran.

Insiden itu seakan sama dengan kejadian pengepungan berdarah di Culiacán pada 2019 ketika tentera menahan Ovidio Guzmán.

Ketika itu ratusan anggota sindiket di Sinaloa menawan bandar itu, menjadikan orang ramai sebagai tebusan, menyekat jalan raya dan mengepung rumah keluarga anggota tentera, menyaksikan lapan orang terbunuh.

Presiden Andrés Manuel López Obrador akhirnya mengarahkan pembebasan Guzmán untuk mengelak lebih banyak pertumpahan darah.

Penangkapan semula Guzmán berlaku beberapa hari sebelum lawatan Presiden Joe Biden ke Mexico, lawatan pertama Presiden Amerika Syarikat (AS) ke negara itu sejak 2014.

Sementara itu, keadaan di Culiacán dilihat terkawal.

Syarikat penerbangan terbesar di negara itu Aeromexico berkata sebuah daripada pesawatnya diserang tetapi tiada kecederaan dilaporkan.

Gabenor Sinaloa Rubén Rocha Moya meminta penduduk "supaya bertenang dan berlindung di rumah".

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS