Penubuhan Kelompok Sekolah Cemerlang (KSC) akan meluaskan lagi jurang pendidikan antara kawasan maju dengan yang masih mundur, kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dr Syed Husin Ali.

Katanya, penubuhan KSC itu bersifat eksklusif dan elit dan persoalannya ialah setakat mana peluang untuk pelajar dari kampung, kawasan perladangan dan kawasan mundur yang lain untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah berkenaan.

Tambahan pula, katanya, tiada jaminan bahawa guru dan pelajar yang bakal terpilih memasuki KSC akan mencerminkan gabungan komposisi kaum di negara ini.

"Sebaliknya, ia mungkin memburukkan lagi masalah polarisasi kaum di sekolah," katanya dalam satu kenyataan sebagai mengulas pengumuman Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengenai penubuhan KSC.

Menurut Hishammuddin, salah satu objektif penubuhan KSC adalah untuk meningkatkan lagi mutu kecemerlangan dalam institusi pendidikan tempatan agar setanding dengan negara-negara membangunkan.

Mengulas lanjut mengenainya, Syed Husin berkata, memang diketahui umum bahawa sistem pendidikan di negara ini adalah dalam keadaan kucar-kacir.

"Kualiti pendidikan telah merosot. Jurang antara sekolah di kawasan maju dan mundur semakin meluas dari segi sekolah, peralatan dan tenaga pengajarnya. Polarisasi kaum pula semakin meningkat antara sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan," tambahnya.

Pemilihan guru besar

Oleh itu, kata Syed Husin, usaha meningkatkan kualiti 300 KSC tidak akan mampu memperbaiki keadaan pendidikan negara pada keseluruhannya.

"Dengan wang yang banyak, peralatan yang bagus, guru-guru terlatih serta pelajar yang terpilih, mungkin sekolah-sekolah ini akan mencapai kecemerlangan," katanya.

Bagaimanapun, tegas beliau, tiada jaminan bahawa keadaan keseluruhannya dalam sistem dan standard pendidikan negara akan turut meningkat.

"Pengerusi Lembaga Penasihat Kecemerlangan KSC telah menegaskan bahawa kejayaannya amat bergantung kepada guru besar. (Tetapi) tidak jelas apakah asas dan proses pemilihan mereka.

"Sepuluh anggota lembaga penasihatnya yang diumumkan oleh Menteri Pelajaran, nampaknya terdiri daripada mereka yang rapat dan dapat diterima oleh menteri berkenaan dan kerajaan.

"Walaupun jika mereka bukan penyokong kuat kerajaan, tetapi mereka tidak dikenali mempunyai keberanian untuk mengkritik secara terbuka dasar kerajaan yang tidak baik," katanya.

Sehubungan itu, kata Syed Husin, timbul kebimbangan bahawa pemilihan guru besar itu nanti juga akan dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti latarbelakang, kaitan politik dan kaum.

Diberi autonomi

"Kita menggesa agar mereka yang terpilih nanti harus membuktikan kemampuan dan kecekapan yang tinggi. Pemilihan mereka mesti mencerminkan pertimbangan merit dan komposisi kaum. Jika tidak, ia akan menimbulkan masalah sosial dan keadaan politik yang tidak sihat, yang tidak sepatutnya berlaku.

"Nampaknya KSC seolah-olah sekolah yang akan diswastakan kepada guru besar yang terpilih. Kebebasan yang tidak terbatas dan kurang penyeliaan, boleh menimbulkan masalah-masalah yang perlu dielakkan seperti rasuah, pembaziran, kronisme dan pilih kasih," katanya.

Oleh itu, Syed Husin menyarankan satu mekanisme diwujudkan untuk mengawal supaya ia tidak berlaku serta tindakan segera dan berkesan dapat diambil terhadap mereka yang melakukannya.

"SKC dan guru besarnya seperti diberi 'autonomi' untuk menguruskan soal kutipan dana dan latihan untuk guru/kakitangan, menentukan keadah pelajaran dan pembelajaran, penilaian serta peperiksaannya.

"Nampaknya 'autonomi' yang akan mereka perolehi itu lebih besar daripada 'autonomi' yang diberikan kepada universiti awam," katanya.

Sehubungan itu, Syed Husin berkata, kerajaan, kementerian dan lembaga penasihat KSC tidak perlu tergesa-gesa tetapi hendaklah mengkaji dengan teliti semua aspek dan masalah berkaitan KSC sebelum melaksanakannya.